Kandungan kreatif multimedia syarikat-syarikat tempatan perlu disemarakkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kata Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Naib Presiden Multimedia Kreatif MDeC Kamil Othman berkata pasaran media dan hiburan di Malaysia dijangka tumbuh pada kadar kompaun tahunan (CAGR) 9.1 peratus dari 2011 hingga 2016.

"Permintaan pengguna untuk kandungan kreatif dijangka tumbuh daripada AS$6.04 juta pada 2011 kepada RM9.35 juta pada 2016," katanya kepada pemberita pada Persidangan dan Pameran Industri Kreatif Pulau Pinang (PCICS) 2014, di sini Selasa.

Kamil berkata syarikat multimedia berstatus super koridor perlu memanfaatkan industri yang semakin berkembang ini, terutama kini terdapat sejumlah 309 syarikat berstatus MSC.

Beliau berkata keupayaan industri kandungan multimedia di Malaysia masih terhad dalam memenuhi permintaan tempatan, dan perlu ada bantuan untuk menyokong industri itu, bukan sahaja dari segi teknikal malah pembiayaan, pembangunan idea, kemahiran dan pertumbuhan bakat.

Kamil berkata kanak-kanak seawal tiga tahun harus didedahkan kepada industri multimedia kreatif untuk mengenal pasti kekuatan dan potensi mereka kerana keupayaan dan suara mereka boleh menggerakkan industri ini ke hadapan.

Pembangunan industri kreatif perlu diperkukuh menerusi dasar, insentif, perlindungan Protokol Internet (IP) untuk membolehkan akses pasaran, pembangunan bakat, infrastruktur, pembangunan perusahaan, pencairan inventori IP serta penyelidikan dan pembangunan, katanya.

Beliau juga berkata MDeC membantu syarikat berstatus MSC bukan sekadar untuk memenuhi permintaan tempatan malah di luar negara memandangkan produk dan perkhidmatan mereka akan mempunyai akses ke luar negeri melalui pameran bergerak, pemadanan perniagaan selain misi perdagangan ke negara-negara yang ada permintaan yang besar. -- Bernama