KUALA LUMPUR: Sejumlah RM8.74 bilion tuntutan perlindungan takaful dibayar oleh pengendali takaful sepanjang tahun 2023, meningkat 24.40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam Laporan Prestasi Takaful 2023 memaklumkan, pengendali Takaful Keluarga telah membayar sebanyak RM6.79 bilion, manakala pengendali Takaful Am pula mengeluarkan jumlah tuntutan sebanyak RM1.95 bilion.

“Peningkatan ini menunjukkan kepekaan industri takaful terhadap keperluan pemegang sijil dan berdedikasi untuk meringankan beban rakyat pada kadar segera,” kata Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas ketika taklimat media hari ini.

Jelas beliau, pembayaran ini disokong sumbangan kasar perniagaan berkuat kuasa Takaful Keluarga yang meningkat 7.55 peratus kepada RM8.97 bilion, berbanding RM8.34 bilion pada tahun 2022.

Bagaimanapun, bilangan sijil berkuat kuasa pada tahun 2023 stabil pada 6.60 juta, menyusut sedikit berbanding 6.63 juta sijil berkuat kuasa yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Sepanjang tahun 2023, pengendali Takaful Keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan caruman kasar sebanyak RM9.59 bilion tetapi tidak dapat mencapai 1.31 juta sijil baharu dan caruman kasar RM10.06 bilion yang didaftarkan pada tahun 2022.

“Walaupun jumlahnya lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya, ia masih memberi kesedaran dan kepercayaan yang berterusan terhadap perlindungan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Hadir sama pada taklimat media tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed.

MTA menjangkakan industri takaful dapat mengekalkan momentum yang stabil pada 2024, selari dengan unjuran pengembangan ekonomi keseluruhan Malaysia.

Pada majlis sama, MTA turut mengumumkan pelan transformasi strategik empat tahunnya untuk meningkatkan dan menginovasikan takaful menjadi nama yang dikenali di Malaysia sekali gus menjadi ilham kepada pemegang polisi generasi baharu.

Elmie berkata, mandat ini adalah untuk menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan memberi impak yang lebih besar.

“Dikenali sebagai Hijrah27, pelan transformasi strategik ini merangkumi perubahan dengan tujuan serta menyepadukan misi MTA dengan matlamat visi Rangka Kerja Sektor Kewangan 2026 dan kerangka Intermediasi Berasaskan Nilai untuk industri.

“Hijrah27 adalah sambungan daripada Pelan Reformasi MTA yang berjaya dilaksanakan pada 2022-2023, yang dikenali sebagai ISLAH 23, dan akan memacu industri dan ekosistem Islam secara keseluruhan bagi memajukan takaful,” katanya.

Walaupun Hijrah27 masih dalam proses penyelesaian, MTA merancang Hijrah27 ini akan memberikan dorongan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan takaful dan menjadikannya pemimpin di Malaysia.

Jelasnya, Hijrah27 akan berterusan memberikan penekanan pada kerjasama, kesedaran menyeluruh, inovasi produk dan perkhidmatan dan pengekalan peranan takaful dalam seluruh ekosistem.

Ia seiring usaha memperluaskan perlindungan dan memenuhi keperluan rakyat yang kurang (unserved) atau tidak mempunyai akses (underserved) mengikut tahap keperluan mereka bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai jaringan keselamatan.