KUALA LUMPUR: Industri takaful Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh dalam sektor perniagaan takaful keluarga dan takaful am bagi separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohamed Sabri Ramli berkata ini dapat dilihat menerusi jumlah sumbangan perniagaan kasar takaful keluarga yang meningkat 46.7 peratus kepada RM4.68 bilion berbanding RM3.19 bilion bagi tempoh sama 2020.

Menurutnya, sebanyak 36.7 peratus daripada pertumbuhan itu disumbangkan oleh perniagaan baharu.

"Sejajar dengan perkembangan itu, pengeluaran siijil baharu takaful keluarga turut meningkat 56.2 peratus kepada 348,833 sijil dengan 45.3 peratus merupakan perniagaan baharu.

"Sumbangan tahunan perniagaan baharu telah merekodkan peratusan pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 88.6 peratus kepada RM1.04 bilion," katanya pada majlis Anugerah Takaful Star Awards 2021 yang disiarkan secara maya, hari ini.

Mohamed Sabri berkata, sumbangan tunggal perniagaan baharu turut meningkat 37.9 peratus kepada RM3.64 bilion pada separuh pertama itu daripada RM2.64 bilion pada tempoh Januari-Jun 2020.

Jumlah kasar sumbangan perniagaan takaful am meningkat 13.6 peratus kepada RM1.86 bilion manakala sektor perniagaan takaful motor kekal memegang bahagian pasaran terbesar sebanyak 62.5 peratus daripada RM1.64 bilion pada separuh pertama 2020.

"MTA percaya trend positif ini disebabkan oleh faktor seperti kekukuhan industri takaful itu sendiri, peningkatan pemahaman dan keyakinan rakyat Malaysia terhadap takaful, penawaran produk menarik dan fleksibel oleh pengendali takaful dan usaha gigih, komitmen serta kreativiti agensi/ejen mendekati pelanggan," katanya.

Beliau berkata kadar penembusan takaful mencatat sebanyak 17.1 peratus berbanding 16.9 peratus pada tempoh sama tahun lepas dan angka itu dijangka bertambah berikutan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan takaful dan insurans akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata biarpun dalam keadaan gawat, industri takaful ternyata menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan sebagaimana dibuktikan menerusi pendaftaran seramai 34,248 ejen baharu pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding 2019.

Pada separuh pertama 2021, seramai 27,741 calon telah menduduki peperiksaan Peperiksaan Asas Takaful (TBE) yang dijalankan secara maya sejak April 2020 dan merupakan prosedur wajib untuk mereka yang ingin mendaftar sebagai ejen.

Elmie juga yakin industri takaful Malaysia kini dalam keadaan lebih kukuh dan bersedia untuk terus meraih kejayaan setelah mengharungi kesusahan cabaran pandemik selama hampir dua tahun.

Dalam pada itu, MTA Takaful Star Awards 2021 bertemakan 'Menerajui Norma Baharu,' bertujuan menghargai aspek kepimpinan, komitmen dan pencapaian perniagaan peserta industri yang mantap dalam mengharungi kesukaran pandemik.

Seramai 73 orang menerima anugerah di bawah enam kategori termasuk Datuk Aida Nurlin Hanif daripada FWD Takaful Bhd yang merangkul anugerah Ejen Terbaik bagi kategori Perniagaan Takaful Keluarga Individu dan Muhammad Zulfadhlee Ramli daripada AIA Public Takaful Bhd yang muncul Ejen 'Top Rookie' atau Ejen Baharu Terbaik.

Bagi Anugerah Khas, Wan Intan Suhaila Wan Ahmad Ridzuan daripada FWD Takaful diiktiraf sebagai Pengurus Muda Takaful.

Selain itu, Great Eastern Takaful Bhd dan Prudential BSN Takaful Bhd muncul pemenang bersama Anugerah Khas Kategori Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) manakala FWD Takaful meraih Anugerah Inovasi.

-- BERNAMA