KUALA LUMPUR: Tekanan inflasi di Malaysia dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, didorong lonjakan harga minyak global yang kembali mencecah paras AS$100 setong susulan ketidaktentuan konflik di Asia Barat.
Pakar Ekonomi MBSB Research, Abdul Mui’zz Morhalim menjangkakan kadar inflasi bagi tahun 2026 berpotensi meningkat kepada sekitar 2 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran awal 1.8 peratus yang dibuat beberapa bulan lalu.
Advertisement
“Secara purata, kami menjangkakan inflasi berada sekitar 2 peratus bagi tahun ini. Mengambil kira kadar sedia ada sekitar 1.7 peratus serta harga minyak yang kekal tinggi, terdapat kemungkinan inflasi berkembang lebih tinggi dalam bulan-bulan akan datang,” katanya.
Menurut Muizz, kenaikan kepada 1.7 peratus yang dicatatkan bulan lalu bukan hanya didorong oleh kos pengangkutan, malah turut melibatkan peningkatan harga dalam beberapa komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP).
“Selain kos pengangkutan, kita juga melihat kenaikan harga bagi komponen kesihatan, pelbagai perkhidmatan dan utiliti. Ini mencerminkan tekanan kos yang semakin meluas dan akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna,” jelasnya.
Beliau menambah, faktor bekalan global yang terjejas akibat konflik di Asia Barat serta ketidaktentuan geopolitik masih menjadi risiko utama kepada trajektori inflasi negara.
“Secara kasar, memang terdapat tanda-tanda tekanan inflasi yang berpotensi meningkat dalam jangka terdekat sekiranya situasi harga komoditi, khususnya minyak mentah, kekal pada paras tinggi,” katanya lagi.
Mengulas hala tuju dasar monetari, Muizz berpandangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak tergesa-gesa menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), walaupun pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh.
“Pada pandangan kami di MBSB, sebarang perubahan OPR oleh Bank Negara adalah bergantung kepada kekuatan permintaan domestik. Walaupun inflasi meningkat, ia lebih berpunca daripada isu bekalan dan bukannya tekanan permintaan,” katanya.
Sehubungan itu, menurut beliau, kenaikan OPR ketika ini berpotensi memberi kesan tambahan kepada rakyat dan juga peniaga, terutamanya dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Saya melihat tiada alasan yang kukuh untuk OPR dinaikkan dalam keadaan sekarang,” jelasnya.
Namun, Muizz tidak menolak kemungkinan langkah pengetatan dasar monetari diambil sekiranya tekanan permintaan terus tinggi, selari dengan prestasi ekonomi yang memberangsangkan.
“Sekiranya pertumbuhan ekonomi terus kukuh, seperti pertumbuhan KDNK 5.3 peratus pada suku pertama tahun ini, dan tekanan permintaan kekal tinggi, maka mungkin terdapat justifikasi untuk BNM mempertimbangkan kenaikan semula OPR ke paras sekitar 3 peratus,” katanya.
Ketika ini, OPR berada pada paras 2.75 peratus, selepas dikekalkan sepanjang beberapa mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari.