BISNES
Insentif kerajaan kekang kenaikan harga gula - Ahmad Shabery

Ahmad Shabery ketika ditemui wartawan selepas Majlis Pelancaran Festival FGV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Langkah proaktif kerajaan menyalurkan insentif kepada syarikat pengeluar gula utama negara, termasuk MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), berjaya mengekang kenaikan harga komoditi itu di pasaran domestik, meskipun berdepan lonjakan harga gula mentah global.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan syarikat terbabit, malah memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
"Bantuan ini bukan sahaja menggembirakan pengguna, malah turut memberi manfaat kepada peneroka FELDA yang juga pemegang saham dalam syarikat pengeluar gula.
"Selagi kerajaan meneruskan pemberian insentif, tiada keperluan untuk menaikkan harga gula di pasaran tempatan," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival FGV sempena Hari Peneroka FELDA 2025 di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi FGV Holdings Bhd., Tan Sri Rastam Mohd Isa.
Ahmad Shabery berkata, peneroka FELDA merupakan pemegang saham utama dalam FGV Holdings dan Koperasi Permodalan FELDA Bhd (KPF), yang mempunyai kepentingan besar dalam MSM.
Katanya tekanan kewangan yang dialami syarikat sebelum ini akibat harga gula mentah yang tinggi menyebabkan peneroka terpaksa menanggung kesan dalam bentuk pengurangan dividen.
"Pernah berlaku, bagi setiap satu kilogram gula yang dijual, RM1 disubsidi oleh peneroka, menyebabkan pendapatan mereka merosot dan menjejaskan kelangsungan hidup.
"Apabila harga gula mentah naik tetapi harga jualan dikawal, MSM menanggung kerugian, sekali gus memberi kesan langsung kepada dividen peneroka sebagai pemegang saham.
"Sudah tentu kenaikan harga gula akan menjejaskan pengguna secara menyeluruh kerana ia bukan sekadar bahan pemanis minuman, malah digunakan dalam pelbagai produk makanan," katanya.
Terdahulu, MSM dilaporkan pernah mencadangkan kenaikan harga gula kasar daripada RM2.85 kepada RM3.85 sekilogram susulan lonjakan harga gula mentah global yang melepasi harga siling ditetapkan kerajaan.
Cadangan itu bertujuan membantu syarikat menampung kos operasi dan mengelakkan kerugian berterusan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami