Insentif Pengeluaran Getah diaktifkan di Sabah, Sarawak untuk Januari 2026

Pekebun kecil di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG dari 1 Februari hingga 28 Februari, 2026 berdasarkan pengeluaran getah pada Januari 2026. - Gambar hiasan Bernama
KUALA LUMPUR: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap (cuplump) dan lateks diaktifkan di Sabah dan Sarawak untuk Januari 2026, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Dalam satu kenyataan pada Ahad, LGM berkata, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap berada di bawah paras RM3.00 sekilogram atau lebih rendah, dengan insentif bagi lateks diaktifkan secara serentak.
Pada Januari 2026, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap ialah RM3.10 sekilogram di Semenanjung, RM2.75 sekilogram di Sabah dan RM2.70 sekilogram di Sarawak, katanya.
"Kadar IPG bagi lateks ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan Kandungan Getah Kering (KGK) 100 peratus," kata LGM.
Ia berkata, kadar IPG yang diaktifkan bagi getah sekerap dan lateks di Sabah ialah 25 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 50 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK, manakala di Sarawak masing-masing pada 30 sen sekilogram dan 60 sen sekilogram.
Pekebun kecil di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG dari 1 Februari hingga 28 Februari, 2026 berdasarkan pengeluaran getah pada Januari 2026.
IPG untuk getah sekerap dan lateks tidak diaktifkan di Semenanjung Malaysia bagi Januari 2026. Oleh itu, tiada bayaran IPG akan dilakukan bagi bulan berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


