KUALA LUMPUR : Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), mengekalkan momentum kecemerlangannya setelah berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak RM11 juta, dengan 178 pekerjaan baharu melalui pelaksanaan sembilan program bimbingan pada 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menjelaskan, terbaharu, 251 usahawan menamatkan program tersebut dan 12 daripadanya telah bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil selepas mengikuti program bimbingan selama empat bulan.

Jelasnya, secara keseluruhan, 54 peratus peserta berjaya mencapai KPI program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20 peratus melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi yang berada di bawah kawal selia KUSKOP.

"Peningkatan hasil jualan terbaharu dicipta oleh usahawan yang terbahagi kepada sembilan industri iaitu IBBC Kiosk Vendor, Pet Care, Jualan Pasar Raya, Printing and Related Services, Postnatal, Grocery Store, Childhood Care and Education, Cafe and Restaurant, serta Aircond and Related Services.

"Lima daripada sembilan program IBBC ini adalah hasil kolaborasi strategik di antara INSKEN dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan GIATMARA.

"Usahawan yang amat bersungguh-sungguh ingin memajukan perniagaan seperti peserta program IBBC ini akan terus dibantu dan disokong oleh KUSKOP termasuklah kesemua agensi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, laporan peserta program itu akan dihantar kepada agensi di bawah KUSKOP untuk dipertimbangkan bagi penyaluran geran, pinjaman serta bantuan yang bersesuaian.

Mengulas isu sama, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, usahawan yang ingin berjaya memerlukan latihan, bimbingan serta sokongan dari pelbagai pihak dan bukan hanya berusaha secara sendiri.

"IBBC merupakan program yang komprehensif kerana dilengkapi dengan semua keperluan tersebut termasuklah kepakaran industry coach dan juga rangkaian usahawan daripada industri sama yang mampu menjana pengetahuan baharu.

"Gabungan kesemua komponen ini terbukti membuahkan hasil yang amat baik. Setiap industri mempunyai peserta cemerlang yang diukur melalui peningkatan hasil jualan serta komitmen mereka," ujarnya.

Sementara itu, peserta Program IBBC Printing and Related Services, Muhammad Mikhail Aiman Mohd Nazari merupakan antara yang terbaik kerana berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 223 peratus.

Beliau konsisten menggunakan semua platform pemasaran serta menambah pasukan jualan, pemasaran dan produksi seperti yang dipelajari serta dibimbing di dalam Program IBBC.

Dalam pada itu, peserta Program IBBC Kiosk Vendor, Kasma Dewi Mohamad Yuna turut berjaya meningkatkan 157 peratus hasil jualan selepas mendapat bimbingan industry coach.

Beliau telah menggunakan khidmat ejen untuk membuat jualan serta mula menjual produknya melalui platform atas talian seperti Shopee dan TikTok sehingga membuahkan hasil cemerlang.

Kesemua usahawan itu diraikan di Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN yang dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasmi di Putrajaya.

Pada majlis sama, INSKEN turut melancarkan Buku Panduan Asas Usahawan (PadU) sebagai bahan rujukan dan bacaan umum kepada semua peringkat usahawan khususnya usahawan permulaan.

Buku itu merupakan gabungan penulisan BisKaunselor INSKEN yang terdiri daripada kumpulan usahawan, pakar industri, tenaga pengajar dan penasihat daripada pelbagai sektor.

Selain peserta Kursus Asas Keusahawanan (KAK) anjuran INSKEN, orang ramai juga boleh mendapatkan buku berkenaan melalui kedai rasmi INSKEN Official di Shopee.