Skip to main content

Malaysia

Polis keluarkan 209 saman, tahan empat lelaki dalam Ops Bersepadu Motosikal

SEREMBAN, 31 Mei -- Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman (dua, kanan) menunjukkan kesalahan pengubahsuaian pada motosikal yang disita semasa Op Bersepadu Motosikal (Samseng Jalanan) di Jalan Persiaran Senawang 1, awal pagi tadi.  Katanya, operasi yang dijalankan selama empat jam bermula 1 pagi itu, turut melibatkan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa dan memberi tumpuan kepada lokasi sering menjadi tempat berkumpul golongan bermotosikal serta aktiviti samseng jalanan.  --fotoBERNAMA (2026) H
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman menunjukkan kesalahan pengubahsuaian pada motosikal yang disita semasa Op Bersepadu Motosikal (Samseng Jalanan) di Jalan Persiaran Senawang 1, awal pagi tadi. - Foto Bernama

SEREMBAN: Polis mengeluarkan 209 saman atas pelbagai kesalahan membabitkan kenderaan dan individu dalam Ops Bersepadu Motosikal (Samseng Jalanan) di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini bermula malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata saman tersebut hasil daripada 322 pemeriksaan dilakukan dalam operasi lebih enam jam bermula 10 malam itu yang turut melibatkan beberapa agensi penguat kuasa, dengan tumpuan kepada lokasi disyaki menjadi tempat aktiviti samseng jalanan.

Beliau berkata antara kesalahan itu ialah pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, tiada lesen memandu serta tiada perlindungan insurans.

"Kita turut menyita 19 motosikal dan menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 37 tahun di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A(1) akta sama kerana menunggang di bawah pengaruh alkohol,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri daripada pemeriksaan dengan merempuh sebuah kereta persendirian polis, namun berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.

Mohd Yatim berkata pemeriksaan turut mendapati terdapat individu yang dipercayai hadir sebagai pemerhati dan penyokong kepada kumpulan yang disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

"Kita bukan hanya memeriksa pelumba malah individu yang hadir memberi sokongan dan galakan kerana mereka secara tidak langsung menyediakan ruang kepada penganjuran aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement