Peruncit utama Jepun, Isetan, akan membuka kedai konsep khususnya yang baru diperkenalkan, The Japan Store, kepada orang ramai pada 27 Okt ini.

Jenama kedai konsep baharu ini, pertama di dunia, akan dibuka di tengah-tengah kawasan Segitiga Emas di ibu kota, di Lot 10 Bukit Bintang.

"Berdasarkan minat global terhadap Jepun yang terus berkembang, The Japan Store akan memperkenalkan sejarah, budaya, teknologi, kepelbagaian dan gaya hidup reka bentuk Jepun melalui pemilihan teliti jenama, produk dan perkhidmatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menerusi usaha sama dengan program 'Cool Japan' yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, kedai ini bertujuan menawarkan gaya hidup dan estetika Jepun kepada pengguna.

Kedai itu membabitkan penawaran produk luar biasa dari Jepun, termasuk jenama serantau, dengan lebih 200 yang sedang diperkenalkan di pasaran untuk pertama kali, di enam tingkat.

Setiap tingkat dikhususkan untuk kategori produk dan pengalaman mengikut tema tertentu, daripada makanan sehingga budaya, fesyen untuk kecantikan dan teknologi - The Museum, The Studio, The Room, The Cube, The Table dan The Market. -- BERNAMA