JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor bercadang mewujudkan taman perindustrian ASEAN dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.


Ringkasan AI
  • Kerajaan negeri Johor bercadang mewujudkan taman perindustrian ASEAN dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk menarik pelaburan strategik daripada negara anggota RCEP.
  • Taman perindustrian akan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti pembuatan termaju, teknologi hijau, dan ekonomi digital, serta menawarkan insentif khas kepada pelabur asing.
  • JS-SEZ telah memacu pelaburan Johor dengan pelaburan baharu mencapai RM27.4 bilion pada suku pertama tahun ini, dan projek bernilai RM23 bilion sedang dalam perancangan.


Beliau berkata taman perindustrian itu dijangka memberi tumpuan terutamanya kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Ia akan menyasarkan untuk menarik pelaburan strategik daripada negara anggota RCEP dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti pembuatan termaju, teknologi hijau dan ekonomi digital," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ di sini hari ini.

Beliau berkata taman perindustrian berkenaan akan memacu pemindahan teknologi, meningkatkan daya saing dan mempelbagaikan rantaian bekalan di seluruh ASEAN.

"Kami juga berharap ia akan menawarkan insentif khas seperti pelepasan cukai, mobiliti bakat yang dipermudahkan dan kelonggaran sementara bagi peraturan penghantaran balik dana untuk menjadikan taman perindustrian ini menarik kepada pelabur asing," katanya.

Langkah ini bermatlamat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di JS-SEZ serta mempromosikan rantau ini sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan berkaitan RCEP, katanya.

Onn Hafiz berkata JS-SEZ telah memacu pelaburan Johor, dengan pelaburan baharu yang diluluskan mencapai RM27.4 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM48.5 bilion pada 2024.

"(Ini) isyarat awal yang kukuh mengenai momentum di sebalik JS-SEZ. Malah, bagi April 2025, satu lagi projek bernilai RM23 bilion sedang dalam perancangan," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Johor juga telah bekerja keras untuk mewujudkan persekitaran mesra pelabur yang cekap, telus dan boleh dipercayai.

"Kami telah memperkemas proses pelaburan kami melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J). Dengan Johor Super Lane (JSL), kami memperkenalkan mekanisme pantas yang dapat mengurangkan kelewatan birokrasi secara ketara bagi pelaburan keutamaan," katanya.

Sejak dilancarkan pada Februari tahun ini, IMFC-J telah menguruskan sebanyak 252 pertanyaan pelaburan dengan 42 projek berimpak tinggi yang kini sedang dalam pemprosesan yang dipercepatkan, katanya.

"Apa-apa yang mengambil masa 24 bulan daripada taklimat sehingga operasi boleh dicapai dalam tempoh hanya 13 hingga 14 bulan, penjimatan masa hampir 10 bulan. Ini bukan sahaja mengenai kecekapan. Ia adalah isyarat jelas kepada pelabur: Johor serius, responsif dan bersedia," katanya.

Bertemakan "JS-SEZ: Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rantaian Bekalan," forum ini dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura serta kerajaan negeri Johor.

Dengan melibatkan kira-kira 1,000 peserta berdaftar, forum ini menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan, pelabur institusi dan wakil industri, sekali gus menjadikannya antara platform terbesar bagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

-- BERNAMA