Skip to main content

Bisnes

JS-SEZ: Sistem perdagangan sehenti percepat integrasi - FedEx

FedEx Malaysia Singapore
Perdagangan dua hala Malaysia-Singapura mencecah AS$99.48 billion (RM402.35 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan kedua-dua negara kekal sebagai antara rakan dagang terbesar masing-masing. - Foto FedEx
Advertisement

SINGAPURA: Pewujudan sistem perdagangan sehenti serta penyelarasan piawaian kawal selia antara Malaysia dan Singapura dilihat penting bagi memastikan integrasi rentas sempadan yang lebih lancar serta memaksimumkan potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long berkata walaupun hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kekal kukuh, perbezaan rangka kerja kawal selia masih menjadi antara cabaran utama kepada pergerakan kargo rentas sempadan.

Menurut beliau, pengiktirafan bersama terhadap lesen dan pensijilan serta pelaksanaan sistem perdagangan sehenti mampu mengurangkan pertindihan proses dan mempercepatkan urusan perdagangan.

“Apabila bercakap mengenai pelepasan kastam atau kawal selia, pengiktirafan lesen dan pensijilan negara lain akan membantu melancarkan perdagangan.

“Sistem perdagangan sehenti boleh menghapuskan keperluan memohon permit import dua kali,” katanya semasa Jelajah Media Rentas Sempadan FedEx Johor-Singapura di Hab Serantau Pasifik Selatan FedEx di Singapura.

Mengulas pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ yang dijangka bermula Disember ini, beliau berkata pengurusan logistik di koridor Johor-Singapura memerlukan penyesuaian berterusan seiring peningkatan jumlah perdagangan.

Menurutnya, setiap industri mempunyai keperluan logistik yang berbeza dan peranan syarikat logistik adalah memastikan penyelesaian yang sesuai dapat disediakan kepada pelanggan.

FedEx turut menggesa peluasan sistem pelepasan kastam automatik bagi kargo secara digital dan fizikal bagi melengkapkan inisiatif penambahbaikan pergerakan penumpang yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan FedEx Singapura, Eric Tan berkata syarikat itu telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kedua-dua kerajaan bagi mengurangkan proses sempadan yang bertindih.

“Secara ideal, semua dokumen dan pemeriksaan hanya perlu dilakukan sekali bagi mengelakkan pengendalian berganda dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata pada Oktober 2025, FedEx menerbitkan kertas putih bersama Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) yang menggariskan hala tuju strategik ke arah mewujudkan ekosistem perdagangan rentas sempadan yang lebih berdaya tahan dan berteraskan inovasi.

Bagi menyokong pertumbuhan perdagangan antara Johor dan Singapura, FedEx turut mengoptimumkan rangkaian logistiknya dengan menghantar penghantaran masuk dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat terus ke kastam Senai.

Langkah itu mengelakkan lencongan sejauh kira-kira 300 kilometer melalui Kuala Lumpur yang digunakan sebelum ini, sekali gus memendekkan tempoh penghantaran ke Johor sehingga dua jam.

Menurut Tan, perdagangan dua hala Malaysia-Singapura mencecah AS$99.48 billion (RM402.35 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan kedua-dua negara kekal sebagai antara rakan dagang terbesar masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement