SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia dan menyampaikan ucaptama pada persidangan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 yang akan berlangsung pada 26 Okt.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura dan India, dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang tenaga.
"Penyertaan ke persidangan ini memberikan peluang kepada kerajaan untuk menonjolkan pelaksanaan inisiatif dua hala dan pelbagai hala di antara kedua-dua negara.
"Ia membuktikan komitmen Malaysia dalam membangunkan industri tenaga serta menarik minat, keyakinan pelabur dan pembiaya antarabangsa untuk melabur dalam pelaksanaan dan pembangunan projek berkaitan tenaga di Malaysia," menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut kementerian, Fadillah turut dijadual bertemu pemimpin industri tenaga antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Japan Bank for International Cooperation (JBIC), Siemens Energy, Acwa Power, Electricite de France (EDF) dan Mitsubishi Heavy Industries.
Pertemuan itu akan menjadi platform bertukar-tukar pandangan dan menghayati amalan terbaik dalam kalangan penggubal dasar, pemain industri dan pihak berkepentingan dalam industri tenaga antarabangsa, dalam usaha merangka dasar dan program berkaitan tenaga yang lebih komprehensif.
"Penyertaan Fadillah ke persidangan tenaga serantau ini menonjolkan komitmen berterusan Malaysia dalam memacu agenda peralihan tenaga, kelestarian alam sekitar serta memperkukuh keselamatan tenaga di peringkat serantau," tambah PETRA.
-- BERNAMA