JS‑SEZ: Malaysia-Singapura tingkat komitmen, tumpu pelaksanaan

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir menerima kunjungan hormat delegasi Singpura diketuai Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat di Kementerian Ekonomi pada Khamis.- Foto Kementerian Ekonomi
PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura mengukuhkan komitmen untuk mempertingkat kerjasama ekonomi, khususnya melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Keputusan itu dicapai hasil kunjungan hormat Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat, kepada Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, pada Khamis.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Ekonomi memaklumkan, kedua-dua negara mengiktiraf kerjasama Johor–Singapura sebagai perkongsian jangka panjang berteraskan kepercayaan, kesinambungan dasar dan manfaat bersama.
Kedua-duanya turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam pelaburan bernilai tinggi, pendigitalan, pembangunan mampan dan pembangunan bakat di mana ia adalah komponen utama agenda JS-SEZ.
Menurut kementerian, JS-SEZ yang kini bergerak daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan dijangka menggabungkan kekuatan sumber dan tenaga kerja Johor dengan modal, teknologi dan rangkaian global Singapura bagi menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di kedua-dua negara.
“Malaysia sedang memuktamadkan Rangka Tindakan Pelaburan dan Pelan Induk JS-SEZ, yang akan menggariskan hala tuju jangka panjang, sektor keutamaan, zon pembangunan utama serta pelan pelaksanaan merangkumi tadbir urus, insentif, infrastruktur dan strategi pembangunan bakat,” menurut kenyataan itu.
Pelancarannya disasarkan pada Mac 2026.
Kedua-dua menteri turut membincangkan usaha memperkukuh Jawatankuasa Menteri-Menteri Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) bagi memastikan penyeliaan yang lebih jelas dan fokus dasar yang lebih kukuh terhadap kerjasama ekonomi, khususnya berkaitan inisiatif JS-SEZ.
Struktur tadbir urus yang dicadangkan akan dibentangkan pada mesyuarat JSCMC seterusnya di Singapura.
Akmal turut menyatakan keyakinan bahawa dengan pelaksanaan berdisiplin dan komitmen berterusan antara kedua-dua negara, JS-SEZ serta rangka kerja JSCMC akan menghasilkan manfaat nyata kepada komuniti perniagaan, pekerja dan masyarakat di Malaysia dan Singapura.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


