KUALA LUMPUR: Jumlah jualan bersih pelabur asing berkurangan minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Pelabur asing mencatatkan jualan bersih bernilai RM107.1 juta saham di Bursa Malaysia -- lebih rendah berbanding jumlah jualan bersih RM536.0 juta pada minggu sebelumnya.

"Kecuali pada hari Isnin dan Khamis, hari-hari lain urus niaga menunjukkan aliran masuk bersih dengan jumlah RM40.8 juta," kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) dalam Laporan Aliran Dananya untuk minggu berakhir 24 Mac 2023.

Jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Isnin berjumlah RM88.5 juta, diikuti oleh RM59.43 juta pada Khamis.

Sepanjang 15 hari dagangan sejak 1 Mac, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah penjagaan kesihatan RM90.0 juta, pengangkutan dan logistik RM24.4 juta dan pembinaan RM15.9 juta.

Sementara itu, tiga sektor terbawah yang menyaksikan aliran keluar bersih asing ialah produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM70.5 juta, utiliti (RM50.5 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM49.2 juta).

Sebaliknya, institusi tempatan terus menyokong ekuiti domestik dengan belian bersih untuk minggu keempat berturut-turut.

"Belian bersih mereka adalah sebanyak RM13.5 juta minggu lepas, rendah berbanding jumlah mingguan tertinggi pada 2023 dan paling tinggi sejak minggu berakhir 9 Dis 2022 - minggu lepas sebanyak RM566.7 juta," katanya.

Berbanding pelabur asing, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 1 Mac 2023 kecuali pada 22 Mac dan 24 Mac.

Institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti melibatkan sejumlah RM1.78 bilion dengan sembilan daripada 12 minggu belian bersih, kata MIDF Research.

Sementara itu, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih pada kadar RM84.7 juta minggu lepas.

"Aliran masuk bersih paling kukuh dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM65.2 juta manakala aliran keluar bersih paling banyak adalah pada hari Selasa sebanyak RM21.1 juta.

"Setakat tahun ini, mereka telah membeli bersih ekuiti berjumlah RM99.5 juta, dengan tujuh daripada 12 minggu belian bersih," katanya.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 16.3 peratus, institusi tempatan (25.3 peratus) dan pelabur asing sebanyak 41.1 peratus.

-- BERNAMA