KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan elektrik (EV) global terus mencatatkan penurunan pada Februari apabila pendaftaran EV di seluruh dunia merosot 11 peratus, didorong kejatuhan ketara jualan di China, pasaran EV terbesar dunia.
Menurut data firma perunding Benchmark Mineral Intelligence (BMI), penurunan itu merupakan kejatuhan terbesar jualan EV di China sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada awal 2020.
Advertisement
BMI memaklumkan, China mencatatkan penurunan sebanyak 32 peratus tahun ke tahun bagi pendaftaran kenderaan elektrik bateri dan hibrid plug-in pada Februari kepada kurang 500,000 unit.
Penurunan itu selari dengan laporan China Association of Automobile Manufacturers yang merekodkan kejatuhan 34 peratus dalam keseluruhan jualan kereta di negara tersebut pada bulan sama.
Pengurus data BMI, Charles Lester berkata, pengguna kini semakin sensitif terhadap harga, sekali gus menjejaskan permintaan terhadap EV.
Secara global, pendaftaran EV jatuh untuk bulan kedua berturut-turut pada Februari kepada sedikit melebihi satu juta unit, iaitu paras terendah sejak bulan sama pada 2024.
Di Amerika Utara, pasaran EV menyusut sebanyak 35 peratus kepada kurang 90,000 unit jualan, menandakan penurunan untuk bulan kelima berturut-turut.
Kemerosotan itu berlaku selepas skim kredit cukai EV di Amerika Syarikat (AS) berakhir pada September tahun lalu serta cadangan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengurangkan lagi piawaian pelepasan karbon dioksida.
Menurut laporan itu, dasar Trump dan permintaan global yang semakin perlahan terhadap EV memaksa beberapa pengeluar kereta yang mempunyai pendedahan besar kepada pasaran AS mencatatkan penyusutan nilai aset melebihi AS$70 bilion.
Di Eropah pula, beberapa negara mula melonggarkan sasaran pelepasan karbon.
Namun jualan EV di rantau itu masih meningkat 21 peratus pada Februari, walaupun kadar pertumbuhan lebih perlahan berbanding kebanyakan tempoh tahun lalu.
Sementara itu, pendaftaran EV di negara lain di seluruh dunia melonjak 78 peratus kepada lebih 180,000 unit, didorong oleh pengembangan syarikat automotif China ke pasaran Asia, Australia dan Eropah, di samping persaingan sengit dalam pasaran domestik mereka.