KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 57,912 unit jualan kenderaan pada April 2021 daripada hanya 152 unit pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam satu kenyataan semalam berkata jualan kenderaan rendah pada April tahun lepas adalah disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama negara dari pertengahan Mac hingga Mei 2020 yang memberi impak kepada prestasi jualan semasa tempoh tersebut.

Jualan kenderaan penumpang pada April 2021 melonjak kepada 52,628 unit daripada 133 unit pada April 2020, manakala jualan kenderaan perdagangan meningkat kepada 5,284 unit daripada 19 unit sebelumnnya.

Bagi asas bulanan, ia berkata kuantiti jualan bagi April 2021 turun 12.3 peratus berbanding Mac 2021 berikutan pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

"Kekurangan cip komputer juga telah menjejaskan jualan beberapa pengeluar," katanya.

MAA berkata dari segi jumlah pengeluaran, 47,764 kenderaan dikeluarkan pada April 2021 berbanding 240 unit pada April 2020 manakala pengeluaran kenderaan perdagangan melonjak kepada 3,626 unit daripada 35 unit sebelumnya.

Bagi asas tahun ini sehingga April 2021, ia berkata kuantiti jualan meningkat 89 peratus kepada 199,556 unit berbanding 105,424 unit pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala jumlah pengeluaran naik kepada 198,476 unit daripada 108,719 unit.

Mengenai prospek masa depan, MAA berkata ia mengunjurkan kuantiti jualan pada Mei 2021 lebih rendah berbanding April 2021, berikutan pelaksanaan PKP 3.0 dari 12 Mei hingga 7 Jun, bulan kerja yang lebih singkat susulan cuti sempena perayaan Aidilfitri, dan kekurangan cip komputer yang dijangka terus menjejaskan jualan beberapa pengeluar.

-- BERNAMA