KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia terus merekodkan prestasi yang memberangsangkan bagi Oktober 2021 apabila sekali lagi mencatatkan rekod nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perdagangan berkembang 26.5 peratus kepada RM202.61 bilion pada Oktober tahun ini berbanding Oktober 2020, melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali dan adalah pertumbuhan dua digit yang kesembilan bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

"Eksport naik 25.5 peratus kepada RM114.43 bilion, pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-14 bulan berturut-turut sejak September 2020.

"Import meningkat 27.9 peratus kepada RM88.18 bilion dan lebihan dagangan berkembang 17.9 peratus kepada RM26.25 bilion," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada Isnin.

"Eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. Eksport ke ASEAN mencatatkan nilai bulanan tertinggi.]," katanya.

Mohamed Azmin berkata berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkembang sebanyak 3.6 peratus, 3.2 peratus, 4.1 peratus dan 0.5 peratus.

Beliau berkata bada 10 bulan pertama 2021, perdagangan meningkat 23.5 peratus kepada RM1.805 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Eksport telah melepasi aras RM1 trilion hanya dalam tempoh 10 bulan, naik 25 peratus kepada RM1.004 trilion dan melebihi jumlah keseluruhan eksport 2020.

"Eksport turut mengatasi nilai tahunan tertinggi setakat ini yang dicatatkan pada 2018. Import berkembang 21.8 peratus kepada RM801.17 bilion dan lebihan dagangan melonjak 39.2 peratus kepada RM202.58 bilion," katanya,

Beliau berkata perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini.

Barangan eksport utama pada Oktober 2021 adalah barangan E&E, bernilai RM42.01 bilion dan merangkumi 36.7 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 8.8 peratus berbanding Oktober 2020;

Ini diikuti oleh keluaran petroleum, RM9.88 bilion, 8.6 peratus daripada jumlah eksport, melonjak 126%; barangan perkilangan logam, RM7.78 bilion (melonjak 146.9 peratus); minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.36 bilion (meningkat 34.6 peratus) serta kimia dan bahan kimia, RM6.61 bilion (menokok 58.9 peratus).

-- BERNAMA