KUALA LUMPUR: Jumlah kelulusan pelaburan Malaysia meningkat 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM177.8 bilion dalam tempoh Januari-September 2021 berbanding RM117.4 bilion pada Januari-September 2020, kata Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh.

Beliau berkata sektor pembuatan menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah pelaburan sebanyak RM103.9 bilion diikuti sektor perkhidmatan (RM57.8 bilion) dan sektor utama (RM16.1 bilion).

"Kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang hampir 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan, atau sebanyak RM106.1 bilion, dengan pelaburan utama dari Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda.

"FDI mendahului pelaburan yang diluluskan dalam pembuatan manakala pelaburan domestik memacu sektor perkhidmatan dan utama.

"Kelulusan pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM71.7 bilion atau 40.3 peratus daripada jumlah keseluruhan. Negeri yang menarik kebanyakan pelaburan yang diluluskan dalam ketiga-tiga sektor itu ialah Kedah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang," katanya dalam nota hari ini.

Selain itu, Julia berkata dengan jumlah kelulusan pelaburan untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini yang mencapai 96 peratus daripada sasaran awal tahun penuh sebanyak RM185 bilion dan menggabungkan pengumuman pelaburan bernilai lebih RM30 bilion baru-baru ini oleh syarikat gergasi cip Amerika Syarikat, UOB menaikkan sasaran tahun penuh 2021 kepada RM215 bilion berbanding RM167.4 bilion pada 2020.

Bagaimanapun, katanya jangkaan situasi monetari global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang berpanjangan mengenai pandemik akan terus memberikan cabaran kepada aliran FDI dalam pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia pada tahun depan -- UOB mengunjurkan kelulusan pelaburan bernilai RM200 bilion pada 2022.

-- BERNAMA