KUALA LUMPUR: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) memutuskan untuk tidak memotong kadar faedah pada ketika ini.

Ia sekali gus mengekalkan kadar sasaran ditetapkan sebelum ini yang berjulat antara 5.25 dan 5.5 peratus, tertinggi sejak 23 tahun lalu.

Keputusan itu dimaklumkan Pengerusinya, Jerome Powell menerusi satu sidang media pada Rabu pasca-Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang berlangsung selama dua hari.

Powell pada masa sama memberi indikasi bahawa pihaknya tidak bercadang untuk menaikkan lagi kadar faedah semasa, selain belum bersedia untuk membuat sebarang pemotongan.

Ia sekali gus mengenepikan beberapa unjuran ahli ekonomi sebelum ini yang berpandangan The Fed mungkin akan memulakan pemotongan kadar faedah dalam masa terdekat.

Menurut Powell, keputusan itu dibuat susulan kadar inflasi negara itu pada ketika ini masih berlegar melepasi paras sasaran bank pusat itu.

"Jawatankuasa (FOMC) tidak melihat pemotongan kadar sesuatu yang wajar ketika ini sehinggalah ia yakin bahawa inflasi akan bergerak dengan kukuh ke arah dua peratus.

"Malah, saya tidak fikir bahawa jawatankuasa akan mencapai satu tahap yang meyakinkan untuk memotong kadar pada mesyuarat bulan Mac nanti, tetapi ia akan berlaku.

"Kami ingin melihat data yang baik. Bukan kami inginkan data yang lebih baik, sebaliknya ingin melihat data positif yang dilihat ketika ini kekal berterusan," katanya pada sidang media tersebut.

Namun, beliau optimis bahawa pemotongan kadar faedah akan berlaku pada tahun ini.

Sementara itu, pasaran saham utama Amerika Syarikat berakhir negatif susulan keputusan The Fed itu ekoran harapan tinggi pelabur yang mahukan bank pusat itu memotong kadar faedah dengan segera, sebelum kemelesetan berlaku.

Malah, Dow Jones Industrial Average telah susut 300 mata ketika dagangan masih berjalan.