KOTA BHARU: Kadar inflasi negara 2.2 peratus pada Mac 2022 dilihat masih rendah jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS) yang mencatat inflasi pada kadar 8.5 peratus dan Eropah 7.5 peratus. 

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara dijangka menghadapi tekanan inflasi susulan kenaikan indeks harga pengeluar IHPR 11.6 peratus pada Mac serta tekanan kadar inflasi di peringkat global.

"Pada Mac, IHPR adalah 11.6 peratus. Pada Februari, 9.7 peratus. Terdapat peningkatan kira-kira 2 peratus.

"Jadi, apabila berlaku kenaikan pada Mac, biasanya ia akan menyebabkan inflasi, jadi kerajaan sedang pantau perkara ini," katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Mustapa berkata, kenaikan IHPR itu dijangka mempengaruhi, mengakibatkan berlaku kenaikan kadar inflasi pada April dan Mei depan.

Susulan itu, jelasnya, kerajaan akan terus melaksanakan langkah kawalan harga ke atas bahan keperluan tertentu dan memberi subsidi bagi diesel, petrol, minyak masak dan gas LPG, bagi mengurangi kesan inflasi tersebut.

Untuk rekod, kadar inflasi negara pada 2019 ialah 0.7 peratus, 1.1 peratus pada 2020, 2.5 peratus pada tahun lepas dan 2.2 peratus pada Mac tahun ini. 



Terdahulu dilaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 pada Mac, berbanding 122.9 pada bulan sama tahun sebelumnya

Selain itu, berlaku kenaikan harga baja dan racun, disebabkan bahan berkenaan yang diimport.

Kenaikan itu dipengaruhi kesan inflasi di Eropah dan AS, serta kenaikan kadar faedah di AS sebanyak 0.5 peratus.

Turut menyumbang, kenaikan harga komoditi seperti gandum dan jagung, yang dipengaruhi kesan peperangan Rusia dan Ukraine.