PGA rampas susu getah, jentera bernilai lebih RM400,000

Balveer berkata dua lelaki tempatan berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun turut ditahan dalam OP INTRA itu. - Foto Facebook/Briged Utara PGA
IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas 28,300 kilogram (kg) susu getah serta pelbagai jentera dan peralatan dianggarkan bernilai RM477,460 dalam serbuan di sebuah premis di Taiping, pada Isnin.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Balveer Singh dalam kenyataan berkata dua lelaki tempatan berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun turut ditahan dalam OP INTRA itu.
Beliau berkata operasi dilaksanakan sekitar 12.30 tengah malam hingga 8 pagi oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, PGA Ulu Kinta dengan kerjasama Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
"Operasi itu hasil risikan selama sebulan dan selepas mengekori sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah dari Kedah ke sebuah premis di Taiping.
"Pemeriksaan mendapati suspek memindahkan susu getah daripada lori tangki ke dalam tong-tong plastik biru berkapasiti 50 kg menggunakan hos dan mesin pam," katanya.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan Dan Permit) 2014 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta supaya segera menghubungi pihak berkuasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


