KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di Malaysia dijangka kian rendah dengan purata 3.5 peratus pada 2023, didorong oleh ekonomi domestik yang semakin positif, demikian menurut MIDF Research.

Ia menjelaskan peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan dan pengembangan sektor utama seperti komoditi akan menyediakan lagi sokongan.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu menambah, pemulihan pasaran buruh Malaysia didapati berterusan memandangkan kadar pengangguran kekal di paras "rendah semasa pandemik" iaitu 3.7 peratus pada Ogos 2022.

"Tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat masing-masing 3.1 peratus dan 4.2 peratus secara tahunan manakala pengangguran terus susut sebanyak 18.3 peratus secara tahunan, dan tenaga buruh luar turun 2.8 peratus secara tahunan pada Ogos 2022.

"Berdasarkan prestasi pasaran buruh yang positif ini, kami yakin perbelanjaan pengguna lebih tinggi pada separuh kedua 2022 dan seterusnya," menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Ia juga menjelaskan kadar pengangguran yang semakin rendah mungkin mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertimbangkan tindakan normalisasi seterusnya ke atas kadar dasar semalaman (OPR) semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang.

Bagi lapan bulan pertama 2022, kadar pengangguran mencecah purata 3.9 peratus manakala pertumbuhan guna tenaga pada 3.5 peratus dan pengangguran susut 14.9 peratus secara tahunan, tambahnya.

Pasaran buruh Malaysia dijangka kekal dalam aliran pemulihan dan terus mengukuh pada separuh kedua tahun ini, didorong oleh momentum dalam ekonomi domestik dan pengembangan yang stabil dalam sektor luar.

"Walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan pada November, pilihan raya ini akan mengurangkan ketidaktentuan politik domestik dan sudah tentu kerajaan baharu akan membentangkan dasar fiskal yang mengembang untuk 2023.

"Kami percaya rangsangan untuk pemulihan pasaran buruh dan pertumbuhan ekonomi domestik akan menjadi antara elemen utama dalam Bajet 2023 selepas PRU15," menurutnya.

MIDF mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 3.8 peratus bagi 2022.

-- BERNAMA