KUALA LUMPUR: Kajian oleh Visa, peneraju dalam pembayaran digital Visa di peringkat dunia mendedahkan bahawa 68 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaporkan berminat dalam perbankan digital.

Dalam laporannya bertajuk "Going Digital: The Banking Revolution", Visa berkata industri yang menunjukkan minat untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank digital termasuk perkhidmatan kewangan (76 peratus), pembuatan dan pembinaan (71 peratus) dan sektor perkhidmatan profesional (69 peratus).

"Hanya lapan peratus daripada PKS tidak berminat untuk menggunakan perkhidmatan daripada bank digital dengan menyatakan bahawa keselamatan dan kredibiliti data sebagai kebimbangan utama mereka," katanya.

Visa berkata PKS Muslim yang melakukan bank dengan bank utama Islam juga melaporkan minat yang lebih tinggi untuk menggunakan perbankan digital (83 peratus) berbanding PKS Muslim yang menggunakan bank utama bukan Islam.

"Perbezaan ketara dalam persepsi patut diteroka secara lebih mendalam untuk memastikan bank bukan Islam boleh membangunkan tawaran yang benar-benar memenuhi keperluan pelanggan mereka," katanya.

Ia berkata bank digital dilihat dapat menyelesaikan cabaran perbankan PKS dengan keselamatan fizikal dan kemudahan mendorong minat dalam perbankan digital.

Sebab utama merangsang minat dalam perbankan digital adalah kerana ia kurang risiko mendapat jangkitan (44 peratus), lebih cepat dan lebih mudah (35 peratus), menjimatkan masa berbanding ke bank (32 peratus), perbankan tersedia 24 jam (31 peratus), yuran lebih rendah (30 peratus), inovatif (29 peratus) serta kurang risiko rompakan (26 peratus).

Sementara itu, ia berkata perbankan digital akan menjadi penyelesaian pembiayaan utama dipilih PKS di mana majoriti (44 peratus) menunjukkan keutamaan untuk tempoh pinjaman tiga hingga enam bulan jika diberi peluang diberi pinjaman khusus kepada mereka yang ditawarkan oleh bank digital.

"Sebanyak 42 peratus lebih berminat untuk membuat pinjaman dalam tempoh lebih lama daripada enam bulan manakala 14 peratus mahu tempoh pinjaman kurang daripada tiga bulan.

"63 peratus daripada perniagaan kecil dan sederhana Malaysia juga memilih kadar faedah yang dikurangkan manakala 37 peratus memilih yuran tetap," katanya.

Daripada segi jenis pinjaman, Visa berkata majoriti PKS lebih suka pinjaman mikro (33 peratus) diikuti dengan pendahuluan tunai (26 peratus), Beli Sekarang Bayar Kemudian (18 peratus), pinjaman modal kerja (16 peratus) dan pembiayaan invois (tujuh peratus).

-- BERNAMA