Kanada telah menolak bidaan C$6 bilion oleh Petronas untuk pengeluar gas berpangkalan di Calgary, Progress Energy Resources Corp. dengan menyatakan bahawa urusniaga itu tidak akan memberikan faedah bersih kepada Kanada.

"Saya boleh sahkan bahawa saya telah menghantar surat notis kepada Petronas memberitahu bahawa saya tidak pasti cadangan pelaburan itu akan memberikan faedah bersih kepada Kanada," kata Menteri Industri Christian Paradis pada Jumaat.

Beliau berkata beliau mengambil keputusan itu selepas meneliti cadangan transaksi tersebut.

Bagaimanapun, Paradis memberi syarikat berkenaan 30 hari untuk membuat apa-apa tambahan cadangan.

"Selepas itu, saya sama ada akan mengesahkan keputusan awal atau meluluskan pembelian itu. Berikutan syarat ketat kerahsiaan Akta berkaitan, saya tidak boleh mengulas tentang pelaburan itu pada masa ini," tambah menteri itu.

Petronas, melalui anak syarikatnya Petronas Carigali Canada Ltd., pada mulanya menawarkan C$20.45 sesaham pada Jun, tetapi menaikkannya kepada C$22 pada Julai selepas satu pihak ketiga yang tidak dinamakan menyatakan minat untuk membeli syarikat itu.

Pada Ogos, pemegang saham Progress Energy meluluskan pengambilalihan itu.

Pada masa itu, Progress Energy berkata bidaan itu tidak dihalang oleh pengawal atur.

Kedua-dua syarikat itu juga menerima surat tiada tindakan daripada pesuruhjaya persaingan di bawah Akta Persaingan, meningkatkan harapan bahawa pengambilalihan itu akan diluluskan.

Surat tiada tindakan itu juga mengesahkan bahawa pesuruhjaya telah menyemak perkara itu dan membuat kesimpulan bahawa beliau tidak, pada masa itu, bercadang membuat permohonan mendapatkan perintah pembetulan di bawah Seksyen 92 Akta itu, kata Progress Energy.

Pengambilalihan asing adalah isu sensitif di Kanada, dan kerajaan persekutuan tidak akan meluluskannya sehingga ia terbukti memberikan faedah bersih kepada Kanada.

Pada November 2010, kerajaan menolak tawaran pengambilalihan C$38 bilion untuk Potash Corp Saskatchewan, pengeluar kalium terbesar dunia, oleh gergasi perlombongan Australia, BHP Billiton, selepas ia mengambil keputusan bahawa perjanjian itu tidak memberikan faedah bersih kepada Kanada.

Kerajaan Kanada kini sedang bergelut dengan tawaran pengambilalihan $15.1 bilion oleh syarikat minyak China, China National Offshore Oil Corporation, untuk pengeluar minyak dan gas, Nexen Inc Calgary.

Perdana Menteri Stephen Harper berkata kerajaan akan meneliti tawaran itu sebelum membuat keputusan.

Tawaran itu adalah pemerolehan asing terbesar oleh sebuah syarikat dari China.