Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil lebih RM6 bilion melalui Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak sistem percukaian itu dilaksanakan pada 1 April lepas sehingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata daripada jumlah tersebut RM3.37 bilion melibatkan kutipan GST import manakala selebihnya merupakan kutipan GST tempatan.

Beliau berkata kutipan GST itu merupakan sebahagian daripada kutipan hasil keseluruhan jabatan tersebut sebanyak RM20.7 bilion dari seluruh negara sejak Januari lepas sehingga semalam.

"Boleh memang kita positif bahawa kita dapat capai sasaran tersebut malah semalam saya telah berbicara dengan pengarah GST mengenai kutipan hasil GST ini dan beliau positif bahawa pada tahun ini berkemungkinan kita boleh kutip angka yang lebih tinggi melangkaui lebih RM50 bilion,” kata Matrang selepas merasmikan majlis penutup Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 Siri 1/2015 di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 191 pembantu penguasa kastam gred W17 berjaya menamatkan kursus asas berkenaan bermula 27 Mei lepas.

Dalam perkembangan lain, Matrang berkata pembangunan sistem elektronik 'Ubiquitous Customs' (U-Customs), yang akan beroperasi pada 1 Januari tahun depan bagi menggantikan sistem maklumat kastam (SMK), kini telah lebih 75 peratus selesai.

Beliau berkata U-Customs menepati standard antarabangsa dengan pelaksanaannya akan dapat memantapkan fasiliti perdagangan dan prosedur perkastaman secara menyeluruh dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan penipuan komersial di negara ini.

Menurutnya lagi ,sistem U-Customs dibangunkan kerana sistem SMK sedia ada tidak mampu menampung kehendak perdagangan pada masa kini.