Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pertumbuhan Keluaran Dalam negara kasar (KDNK) yang stabil dan sederhana sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015 membuktikan keadaan ekonomi negara adalah baik, tidak seperti digambarkan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perbandingan pertumbuhan ekonomi negara perlu dibuat dengan negara-negara lain di asia dan negara-negara maju pada suku tahun yang sama.

Najib menerusi laman Facebooknya, berkata biarpun pelbagai persepsi negatif terhadap ekonomi negara, namun laporan Bank Negara menggambarkan situasi sebenar.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom menjangkakan pertumbuhan yang perlahan pada suku kedua tahun ini iaitu masing-masing kepada 2.3 peratus dan 2.6 peratus berbanding pertumbuhan 2.9 peratus kedua-duanya pada suku pertama.

Bagi China dan Indonesia pula, pertumbuhan bagi suku kedua kekal berbanding suku pertama iaitu masing-masing pada 7.0 peratus dan 4.7 peratus.

Sementara itu, Chinese Taipei menyasarkan pertumbuhan 0.6 peratus pada suku kedua berbanding 3.4 peratus suku sebelumnya dan singapura 1.8 peratus daripada 2.8 peratus pada suku pertama.

Pada khamis, Bank Negara mengumumkan ekonomi negara tumbuh sederhana berbanding 5.6 peratus pada suku pertama, dipacu sebahagian besarnya oleh permintaan swasta.