KUALA LUMPUR : Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2022, selari dengan pemulihan permintaan dalam dan luar negeri pulih, menurut Bank Dunia.

Dalam laporan Pemantau Ekonomi Bank Dunia Malaysia: "Staying Afloat" yang dilancarkan hari ini, ujuran tersebut berdasarkan anggaran pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus pada 2021.

Namun, ia masih diselubungi dengan bebeapa risiko lain termasuk penularan baharu COVID-19 dan pertumbuhan lebih perlahan di peringkat global dan serantau.

Bank Dunia dalam satu kenyataan memaklumkan, ruang fiskal yang terhad kekal sebagai cabaran utama.

Hasil kerajaan persekutuan yang merosot sejak 2013 adalah diunjurkan mencapai 14.3 peratus daripada KDNK pada 2022.

Sementara itu, perbelanjaan mengurus yang tegar iaitu emolumen, caj persaraan dan pembayaran khidmat hutang telah berkembang dengan ketara dari semasa ke semasa dan dijangka mengambil dua pertiga hasil pendapatan kerajaan persekutuan tahun hadapan  meningkatkan fiskal dan menyesakkan perbelanjaan mengikut budi bicara.

Menurut Pengarah Bank Dunia untuk Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop, pandemik ini mengekang lagi ruang fiskal Malaysia yang sudah terhad.

"Hasil kerajaan dijangka merosot manakala perbelanjaan tegar kekal tinggi. Oleh itu, kerajaan harus mempercepatkan usaha membina semula penampan fiskal dengan mengumpul lebih banyak dan berbelanja lebih baik," ujarnya.

Antara lain, Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dijangka akan dibentang pada 2022 boleh membuka jalan kepada penyatuan fiskal jangka sederhana.

Bagaimanapun, dalam jangka pendek, meningkatkan sasaran perbelanjaan sosial dan pada masa yang sama dihentikan secara berperingkat subsidi umum dan regresif, seperti subsidi bahan api, akan membantu meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan.