Tidak setuju dengan semua dasar Ataturk, tetapi protokol Turkiye harus dihormati - PM Anwar

Anwar menyifatkan kekeliruan serta kritikan yang timbul dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia berpunca daripada kekurangan kefahaman sejarah berhubung siapa Ataturk dan konteks zamannya. - Gambar Bernama
ISTANBUL: Upacara meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Turkiye moden, Mustafa Kamal Ataturk, adalah protokol rasmi yang wajib dilakukan oleh semua ketua kerajaan yang membuat lawatan rasmi ke negara itu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa upacara meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk adalah protokol rasmi yang dilakukan oleh semua ketua kerajaan lawatan ke Turkiye, tanpa mesej politik terselindung.
- Anwar menekankan bahawa kritikan terhadap tindakan penghormatan kepada Ataturk berpunca daripada kekurangan pemahaman sejarah rakyat Malaysia berkenaan tokoh tersebut serta konteks zamannya dalam sejarah awal abad ke-20.
- Walaupun tidak bersetuju dengan beberapa dasar Ataturk berkaitan Islam, Anwar menegaskan sumbangan besar tokoh itu dalam mempertahankan Turkiye daripada jajahan Eropah tidak boleh diabaikan, menekankan perlunya menilai beliau dalam konteks sejarah yang betul.
“Saya tidak fikir terlalu ramai memahami perkara ini. Semua ketua negara yang mengadakan kunjungan rasmi ke Turkiye dikehendaki melakukan upacara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi bersama media Malaysia, sempena hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Turkiye yang bermula 6 Januari lepas.
Kontroversi timbul apabila tindakan Perdana Menteri memberi penghormatan kepada makam figura tersebut mengundang kritikan daripada segelintir rakyat Malaysia dan ahli politik pembangkang, yang menganggap Ataturk lebih bersifat sekular
Namun Perdana Menteri menegaskan penilaian terhadap Ataturk perlu dibuat berdasarkan konteks sejarah awal abad ke-20, khususnya selepas kekalahan Empayar Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama.
“Ketika itu kuasa-kuasa Bersekutu termasuk Greece, Britain dan Perancis, secara terang-terangan berusaha membahagi-bahagikan wilayah Uthmaniyah melalui Perjanjian 1920 dan 1923.
“Ini percubaan untuk meleburkan kekuatan Empayar Uthmaniah dan Mustafa Kamal, memulakan gerakan ketenteraan yang mampu menangkis serbuan ini dan mengalahkan beberapa kuasa penjajah," katanya.
Atas sebab itu, Anwar menjelaskan, rakyat Turkiye melihat Ataturk sebagai tokoh yang menyelamatkan tanah air daripada dijadikan wilayah jajahan Eropah dan gambaran itu menjadi asas penghormatan negara tersebut terhadapnya.
Dalam pada itu Anwar menegaskan, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan berberapa dasar dan keputusan Ataturk berhubung Islam, termasuk pertukaran bahasa untuk azan, perubahan tulisan serta urusan berkaitan pentadbiran
Namun, Perdana Menteri menekankan, ketidakserasian pandangan itu tidak menafikan sumbangan besar Ataturk yang mempertahankan Turkiye daripada hilang kedaulatan.
“Ada keputusan beliau yang saya rasa tidak serasi dengan pandangan, tetapi itu tidak boleh memadamkan sumbangan seorang tokoh besar yang berjaya membebaskan negara mereka daripada percubaan untuk menjadikannya sebahagian wilayah di bawah penjajah Eropah,” jelasnya.
Mengulas kenyataan dan kecaman daripada pihak tertentu di Malaysia mengenai lawatan tersebut, Anwar menyifatkannya sebagai kesan daripada kedangkalan ilmu dan kegopohan untuk menghukum.
Beliau menjelaskan, sama ada Ataturk dihormati atau tidak oleh seseorang bukanlah isu utamanya, kerana upacara tersebut merupakan tanggungjawab diplomatik yang dilakukan oleh pemimpin negara yang membuat kunjungan rasmi ke republik itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


