KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi 2.9 peratus pada suku tahun kedua 2023 didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain permintaan luaran yang lebih perlahan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, permintaan dalam negeri kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan.

"Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah.

"Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti, pelaksanaan projek berbilang tahun yang berterusan dan perbelanjaan aset tetap yang lebih tinggi oleh kerajaan.

"Kemasukan pelancong asing yang terus pulih sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

"Pertumbuhan pada suku kedua juga dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada suku kedua tahun 2022 apabila ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh berikutan kesan pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah dasar," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin. 

Foto DOSM

Selain itu, prestasi ekonomi bulanan meningkat secara marginal 0.7 peratus pada April, melonjak 5.6 peratus pada Mei dan menyederhana kepada 2.4 peratus pada Jun 2023.

Pertumbuhan kukuh pada Mei 2023 disumbangkan oleh peningkatan sementara dalam permintaan global dan penggunaan isi rumah.

Sementara itu, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini.

Bagi separuh tahun 2023 ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus menyederhana berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 6.8 peratus.