KDNK Suku Ketiga 2025 Malaysia diunjur berkembang 5.2 peratus - DOSM

Mohd Uzir berkata pertumbuhan itu disokong oleh prestasi kukuh dalam semua sektor utama dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan. - Foto Bernama
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.2 peratus pada Suku Ketiga 2025, peningkatan daripada pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ringkasan AI
- Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.2% pada Suku Ketiga 2025, meningkat daripada 4.4% pada suku sebelumnya, disokong permintaan domestik, pelaburan modal dan sektor pelancongan.
- Pengurangan OPR dan bantuan tunai SARA merangsang penggunaan domestik; sektor perkhidmatan (5.1%), pembuatan (4.0%) dan pembinaan (11.2%) kekal pemacu utama, manakala perlombongan melonjak 10.9%.
- Prestasi perdagangan bercampur, eksport naik 6.5% pada Julai tetapi susut 5.9% pada Ogos; sektor pertanian hanya tumbuh marginal 0.4% akibat penyusutan subsektor kelapa sawit dan getah.
Mohd Uzir berkata pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan pengagihan bantuan tunai sekali bayar RM100 kepada rakyat di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memainkan peranan penting dalam merangsang penggunaan domestik, seterusnya mengukuhkan keseluruhan aktiviti ekonomi sepanjang suku tahun ini.
Menurutnya, pengeluaran pembuatan meningkat sebanyak 2.8 peratus pada Ogos, terutamanya disokong oleh industri berorientasikan eksport manakala sektor perlombongan mencatatkan pertumbuhan kukuh 16.8 peratus pada Ogos, didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah dan kondensat, serta gas asli.
"Selain itu, jualan dalam sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 5.0 peratus pada Julai dan 4.9 peratus pada Ogos.
"Subsektor perdagangan borong menambah pada 5.1 peratus, diikuti peningkatan 5.0 peratus dalam perdagangan runcit pada Ogos," kata Mohd Uzir.
Sementara itu, prestasi perdagangan Malaysia tidak menentu dalam tempoh dua bulan tersebut dengan eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh pada Julai sebanyak 6.5 peratus, manakala menyusut 5.9 peratus pada Ogos selepas peningkatan sederhana 0.6 peratus pada Julai.
"Susulan itu, jumlah keseluruhan aktiviti perdagangan meningkat 3.6 peratus pada Julai sebelum menyusut 2.0 peratus pada Ogos," katanya.
Menurut DOSM, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif dengan sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan pemulihan, manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pengembangan pada suku ini.
Sektor perkhidmatan berkembang 5.1 peratus pada suku ketiga 2025, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta makanan dan minuman dan penginapan.
Sementara itu, sektor pembuatan menokok 4.0 peratus (Suku Kedua 2025: 3.7 peratus), terutamanya disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal, serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan prosesan makanan.
Mohd Uzir berkata sektor perlombongan dan pengkuarian melonjak 10.9 peratus daripada penurunan 5.2 peratus pada suku sebelumnya, terutamanya didorong oleh peningkatan pengeluaran gas asli dan minyak mentah dan kondensat.
"Sementara itu, sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan 11.2 peratus daripada 12.1 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen, khususnya kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.
"Selain itu, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan marginal 0.4 peratus (Suku Kedua 2025: 2.1 peratus), dipengaruhi oleh prestasi yang lebih baik dalam subsektor ternakan, namun subsektor kelapa sawit dan getah mencatatkan penyusutan pada suku tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami