Kes mahkamah libatkan kanak-kanak mesti diselesai dalam tempoh setahun - Azalina

Azalina ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Projek Mahkamah Pengerang Johor di Mahkamah Pengerang Johor hari ini. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Kerajaan akan melancarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan semua kes melibatkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan lancar SOP baharu pada 24 Okt bagi memastikan semua kes melibatkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun, sebagai usaha memperkukuh sistem keadilan kanak-kanak.
- Inisiatif termasuk penggunaan van keterangan untuk saksi bawah umur dan cadangan larangan telefon pintar bagi pelajar 16 tahun ke bawah, selaras dengan perlindungan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak.
- Larangan telefon pintar masih dalam perbincangan bersama platform media sosial, dengan kerajaan menekankan penguatkuasaan akta ancaman dalam talian untuk kawal kandungan digital; Mahkamah Pengerang dijangka beroperasi 1 Nov.
"Kita nakkan supaya semua kes yang melibatkan kanak-kanak sama ada yang didakwa ataupun menjadi mangsa, kes-kes ni mesti diselesaikan dalam masa satu tahun. Itu akan menjadi garis panduan kepada mahkamah.
"Bagi pihak hal ehwal undang-undang dan mahkamah, memang fokus kalau kanak-kanak jadi pelaku atau mangsa, kes melibatkan mereka mesti menjadi keutamaan. Itu yang akan Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar Malaya pun setuju," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Pengerang, di sini hari ini.
Beliau berkata dalam usaha menyelesaikan kes melibatkan kanak-kanak, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif misalnya penggunaan kemudahan seperti van keterangan bagi memudahkan proses pengambilan keterangan saksi bawah umur.
Sementara itu, Azalina berkata cadangan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah seperti disyorkan Jemaah Menteri semalam, perlu dilihat seiring dengan pelaksanaan instrumen undang-undang sedia ada bagi melindungi keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.
Beliau berkata isu penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar perlu diperhalusi dengan mengambil kira amalan di beberapa negara lain yang menetapkan had umur antara 13 hingga 16 tahun.
"Saya percaya Menteri Kabinet telah berbincang mengenai perkara ini dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil juga berkata perkara ini masih dalam perbincangan bersama platform media sosial.
"Yang penting, kita sudah ada akta ancaman dalam talian yang telah dibangunkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). Pelaksanaan akta itu akan membantu penguatkuasaan dan pemantauan terhadap platform media sosial apabila diarahkan kerajaan," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dipetik berkata langkah itu dipertimbangkan susulan kebimbangan terhadap kesan ketagihan serta kecenderungan kepada perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital.
Mahkamah Pengerang yang dibina pada Mei 2022 dengan kos kira-kira RM17 juta dan siap sepenuhnya pada Ogos lepas, dijangka memulakan operasi pada 1 Nov ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami