KULIM: Kerajaan negeri Kedah baru-baru ini telah meluluskan pembukaan satu kawasan industri baharu di Gurun berkeluasan kira-kira 404 hektar (1,000 ekar), kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Tanpa menjelaskan lebih terperinci, beliau berkata, keluasan keseluruhan kawasan itu adalah kira-kira 809 hektar (2,000 ekar) namun kerajaan negeri meluluskan separuh daripadanya terlebih dahulu buat permulaan untuk dibangunkan menjadi pusat perindustrian.

Muhammad Sanusi berkata kelulusan itu dibuat mengikut tukar syarat tanah berikutan tanah di kawasan tersebut milik persendirian.

"Kita akan menjadikan ia satu kawasan industri baharu yang akan membantu membangunkan ekonomi Kedah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kilang baharu pengeluar sarung tangan pembedahan Molnlycke Health Care di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), di sini, hari ini.

Sementara itu dalam ucapannya, Muhammad Sanusi berkata, Kedah berbangga menjadi tuan rumah kepada kilang moden dan canggih Molnlycke dan mampu menyediakan prasyarat yang sesuai bagi pengeluaran mampan sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi.

"Saya melihat Molnlycke adalah satu contoh yang sangat baik bagaimana kita boleh berganding bahu bersama-sama untuk membangunkan perniagaan, individu dan wilayah di Kedah.

"Molnlycke telah bertapak di Kedah sejak 1990. Bermula dengan sebuah kilang di Kulim dengan 300 pekerja, kini anda mempunyai lebih 2,500 pekerja tempatan di ketiga-tiga kilang di Kulim, Kuala Ketil, dan kini menambah 400 lagi pekerja di KHTP," katanya.

Muhammad Sanusi berkata Malaysia secara umum dan Kulim secara khususnya merupakan pusat kecemerlangan bagi pengeluaran sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi yang diiktiraf dunia.

"Namun selain menarik syarikat seperti Molnlycke untuk mengembangkan operasi global di negara ini, menjadi keutamaan kami juga untuk menarik dan menyokong syarikat seperti syarikat anda untuk bukan hanya melabur di Kedah dan mewujudkan pekerjaan baharu, tetapi juga menjalankannya secara mampan dan bertanggungjawab," katanya.

-- BERNAMA