Skip to main content

Malaysia

761 pelajar cemerlang SPM 2025 di Kelantan terima komputer, bantuan awal pengajian

KOTA BHARU, 23 Mei -- Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim (tengah) bersama para pelajar yang menerima bantuan pada Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Kota Bharu hari ini._BERNAMA
Muhammad Kamil (tengah) bersama para pelajar yang menerima bantuan pada Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU: Sebanyak 761 anak kepada penerima bantuan e-Kasih di Kelantan yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima komputer riba dan bantuan awal sebanyak RM1,000.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata melalui inisiatif ini, kerajaan MADANI bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah menyediakan dorongan awal kepada penerima untuk melangkah ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan lebih yakin dan bersedia. 

"Kita buat program ini secara bersasar di bawah inisiatif Sejahtera MADANI yang dikelola oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan bantuan ini khusus diberi kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dalam data e-Kasih.

"Saya harap dengan sumbangan ini dapat membantu mereka meringankan beban keluarga bagi memudahkan urusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Kota Bharu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah ICU JPM Kelantan Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.

Sementara itu, penerima Nur Intan Farhana Mansur, 18, berkata bantuan yang diberikan oleh kerajaan akan digunakan sebaik mungkin sebagai persediaan melanjutkan pengajian dalam bidang Asasi Sains di Universiti Teknologi MARA (UiTM)  Shah Alam.

"Ayah saya Mansur Mat Jusoh berusia 46 tahun, bekerja sebagai buruh dan saya anak sulung daripada enam beradik.

"Bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan kami sekeluarga, dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana begitu prihatin terhadap rakyatnya," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement