Kedai rakan niaga SARA berjumlah 8,700 setakat 3 Nov - MOF

Jumlah kedai rakan niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada 8,700 di seluruh negara setakat 3 November, 2025 berbanding 700 termasuk kedai kecil pada 2024 dan bilangan ini dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah kedai rakan niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada 8,700 di seluruh negara setakat 3 November, 2025 berbanding 700 termasuk kedai kecil pada 2024 dan bilangan ini dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata jumlah kedai rakan niaga ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan juga pedalaman untuk memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini.
"Kerajaan kekal konsisten dalam melindungi dan memastikan peniaga kecil serta kedai runcit persendirian termasuk kedai koperasi turut mendapat limpahan ekonomi daripada pelaksanaan SARA," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi kamar khas mengenai jumlah penyertaan peruncit kecil dan tempatan dalam ekosistem MyKasih.
Menurut Lim, bagi memudahcara dan meluaskan capaian serta memastikan kedai runcit dan pasar raya di kawasan luar bandar dan pedalaman turut mendapat faedah daripada inisiatif SARA, program SARA di lapangan juga turut dilaksanakan sekali dengan Program Jualan Rahmah.
"Melalui kaedah ini, penerima bukan sahaja mendapat harga barangan yang murah tetapi dapat membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad di premis rakan niaga SARA yang turut merupakan pengendali Program Jualan Rahmah yang kebanyakkannya merupakan kedai runcit persendirian," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


