Kedaulatan, kebebasan dasar, kepentingan negara kekal terpelihara sepenuhnya di bawah ART

Pada 26 Okt lalu, Presiden AS Donald Trump mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN dan mencapai persetujuan penting melibatkan perdagangan timbal balik.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sekali lagi menegaskan bahawa kedaulatan, kebebasan dasar dan kepentingan negara Malaysia kekal terpelihara sepenuhnya di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat.
Ringkasan AI
- MITI menegaskan ART Malaysia-Amerika Syarikat adalah langkah balas untuk melindungi kepentingan negara, bukan perjanjian perdagangan bebas konvensional.
- Tanpa ART, eksport Malaysia mungkin dikenakan tarif tinggi sehingga 24 peratus, membawa kesan buruk terhadap sektor sensitif seperti semikonduktor dan farmaseutikal, berpotensi menjejaskan ekonomi negara.
- Melalui ART, Malaysia mendapat pelbagai manfaat termasuk pengecualian bagi eksport produk bernilai RM22 bilion serta kedudukan sebagai negara perdagangan yang berdaya tahan dan dipercayai dalam persekitaran geopolitik yang mencabar.
"Tidak ada pindaan kepada undang-undang Malaysia yang diperlukan sebagai prasyarat untuk menandatanganinya -- yang mana menjamin kedaulatan kita dalam keseluruhan proses rundingan," tegas MITI.
MITI berkata tanpa ART, eksport Malaysia mungkin tertakluk kepada tarif sebanyak 24 peratus, 25 peratus atau lebih tinggi, dengan risiko tarif lebih tinggi dikenakan ke atas sektor sensitif seperti semikonduktor dan farmaseutikal yang seterusnya berpotensi membawa kesan bernilai RM56.2 bilion dalam eksport semikonduktor sahaja.
Kementerian itu berkata impak buruk itu akan menjejaskan beribu-ribu perniagaan dan mata pencarian berjuta-juta rakyat Malaysia merentasi sektor utama, termasuk elektrik dan elektronik, aeroangkasa, getah, koko dan farmaseutikal.
"Pada 2024, perdagangan Malaysia-AS mencecah RM325 bilion, dengan eksport berjumlah RM198.65 bilion. Dalam tempoh Januari hingga September 2025, eksport Malaysia ke AS berjumlah RM166.38 bilion, menjadikan gergasi utama ekonomi dunia itu sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia," katanya.
MITI menjelaskan melalui ART, Malaysia memperoleh manfaat nyata apabila kadar tarif timbal balas telah dikurangkan kepada 19 peratus, iaitu paras terendah yang dikenakan kepada kebanyakan negara anggota ASEAN yang merekodkan lebihan dagangan dengan AS.
"Lebih penting lagi, Malaysia mendapat pengecualian bagi 1,711 produk eksport, melindungi sekitar RM22 bilion eksport merangkumi minyak sawit, getah, koko, komponen aeroangkasa dan farmaseutikal.
"Susulan pengecualian ini, terdapat potensi kukuh untuk nilai tersebut berkembang melebihi RM22 bilion pada masa hadapan. Pada masa sama, Malaysia mengekalkan, secara purata, duti import sebanyak tujuh peratus ke atas barangan AS dan terus mengekalkan duti import bagi sektor sensitif," tambahnya.
MITI memaklumkan sekurang-kurangnya 10 sesi libat urus dengan pembuat dasar telah diadakan sejak Mei 2025, termasuk sesi taklimat dengan Kelab Penyokong Kerajaan, Sidang Khas Parlimen mengenai isu Tarif Timbal Balas AS serta mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa di peringkat Parlimen.
"ART, serta implikasinya, telah dibentangkan kepada dan diluluskan oleh Jemaah Menteri.
"Selain itu, sesi libat urus dengan kementerian berkaitan turut melibatkan Kementerian Kewangan (mengenai implikasi tarif dan fiskal), Kementerian Luar (bagi penyelarasan dari segi diplomatik), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, serta Kementerian Kesihatan (mengenai keselamatan dan keterjaminan makanan)," menurut MITI.
MITI menambah agensi yang dirujuk termasuk Jabatan Peguam Negara (bagi memastikan penyelarasan dan pematuhan perlembagaan), Bank Negara Malaysia (mengenai kesan makroekonomi, perkhidmatan kewangan dan mata wang), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (mengenai piawaian halal serta langkah sanitari dan fitosanitari), Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (mengenai peraturan teknikal dan kebenaran pemasaran), serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (mengenai duti dan cukai kastam).
Kementerian itu berkata kerajaan telah sekian lama berpegang teguh kepada perkara asas yang tidak boleh dikompromi termasuk dasar Bumiputera, perolehan kerajaan serta pemilikan dalam sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi.
Menurutnya tiada mana-mana klausa dalam ART yang mengabaikan perkara asas ini, dan peruntukan seperti Artikel 5.1 (mengenai tindakan pelengkap) dan Artikel 5.2 (mengenai kawalan eksport) secara jelas termaktub dalam undang-undang domestik Malaysia dan hanya terpakai apabila terdapat kebimbangan bersama berkaitan ekonomi atau keselamatan negara.
"Malaysia mengekalkan autonomi penuh untuk menentukan hala tuju tindakannya selaras dengan dasar luar yang neutral dan berkecuali yang telah lama diamalkan. Artikel 3.3 dan 5.3 memerlukan rundingan dengan AS, tetapi tidak memberikan sebarang kuasa veto terhadap perjanjian perdagangan Malaysia pada masa depan.
"Oleh itu, ART berperanan sebagai instrumen pertahanan dan penstabilan. Ia mengurangkan risiko kejutan tarif secara mendadak, mendapat layanan yang lebih baik berbanding kebanyakan negara lain yang berdepan langkah unilateral AS yang sama dan menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia komited untuk melindungi pasaran eksport kritikal sambil mengekalkan hak berdaulatnya untuk mengawal selia bagi kepentingan negara," katanya.
MITI berkata langkah memuktamadkan ART mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan yang berdaya tahan, boleh diramal dan dipercayai dalam persekitaran geopolitik serta ekonomi yang semakin mencabar.
Kementerian berkenaan menyambut baik wacana dan perbincangan yang betul, bermaklumat dan berasaskan fakta mengenai isu kedaulatan dan kebimbangan lain berkaitan ART.
"MITI akan terus memberi penerangan kepada Parlimen, mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan memberikan penerangan yang jelas supaya rakyat dapat menilai ART berdasarkan maklumat yang tepat dan lengkap.
"Pelaksanaan ART akan terus berlandaskan undang-undang Malaysia, kepentingan negara dan dasar luar yang bebas," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


