Kekayaan Zuckerberg merosot lebih AS$6 bilion

Astro Awani
Oktober 5, 2021 01:35 MYT
Kejatuhan harga saham menyebabkan kekayaan Zuckerberg merosot pada AS$121.6 bilion. - Foto REUTERS
KEKAYAAN peribadi Mark Zuckerberg, merosot lebih AS$6 bilion dalam hanya beberapa jam susulan gangguan pada platform media sosial yang bermula lewat semalam.
Ini menyebabkan pengasas bersama Facebook itu terjatuh satu anak tangga dalam senarai individu terkaya dunia, lapor Bloomberg.
Penjualan saham Facebook Inc secara besar-besaran menyebabkan ia jatuh 4.9%, tambahan pada kemerosotan sebanyak 15% dialami syarikat itu sejak pertengahan September.
Kejatuhan harga saham menyebabkan kekayaan Zuckerberg merosot pada AS$121.6 bilion, di bawah Bill Gates dalam senarai Indeks Jutawan Bloomberg.
Beberapa minggu sebelum ini kekayaannya bernilai AS$140 bilion.
Lewat Isnin, ribuan pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp mengalami kesukaran mengakses platform media sosial itu dalam kejadian yang disifatkan sebagai "masalah teknikal terbesar pernah berlaku".
BACA: Facebook, Instagram, WhatsApp kembali pulih selepas alami gangguan selama 6 jam
Ia kembali pulih selepas hampir enam jam namun penggunaannya masih tersekat-sekat.
#Mark Zuckerberg #kekayaan #saham #Facebook