KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) mengakui keuntungan dari Malaysia mungkin terjejas disebabkan kekurangan penuai buah kelapa sawit tetapi yakin operasi lain akan mengimbangi kejatuhan tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata kumpulan itu menghadapi kekurangan lebih 4,000 pekerja, yang mana pada masa ini telah menjejaskan proses penuaian buah kelapa sawit meliputi kawasan seluas 60,000 hektar.

Akibatnya, operasi di Malaysia hanya boleh mengeluarkan kurang daripada separuh jumlah pengeluaran keseluruhan kumpulan pada separuh pertama 2022.

"Ini hanya berlaku di Malaysia, yang membentuk 50 peratus daripada operasi kami, tetapi terdapat 50 peratus lagi yang sepatutnya berjalan dengan baik kerana tidak ada sebarang halangan kepada pengeluaran kami di negara-negara lain," katanya kepada pemberita semasa taklimat media prestasi SDP bagi suku kedua tahun kewangan 2022 semalam.

Bagi mengurangkan masalah itu, SDP akan membawa masuk sekurang-kurangnya 3,000 pekerja asing secara berperingkat-peringkat menjelang akhir 2022.

Langkah itu juga akan memanfaatkan bulan yang mana pengeluaran biasanya menurun, yang akan bermula bulan depan hingga November.

SDP juga turut menghadapi masalah berikutan sekatan eksport dari Indonesia.

Pengarah Urusan Sime Darby Oils Mohd Haris Mohd Arshad berkata, sekatan itu menyebabkan pihaknya perlu mengetepikan satu tan minyak sawit untuk pasaran tempatan bagi setiap empat tan minyak yang akan dieksport.

"Ini memperlahankan aktiviti kami kerana anda perlu mencari seseorang yang sanggup membeli untuk pasaran tempatan terlebih dahulu. Hanya selepas anda berjaya menjual di pasaran tempatan dan kepada pembeli tempatan, barulah anda boleh mengeksport.

"Oleh itu ia menjejaskan kecekapan operasi kami," katanya.

Mohd Haris berkata firma itu juga kehilangan peluang untuk menjual kerana tidak dapat mengeksport pada Mei 2022 apabila harga minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada paras melebihi RM6,000 setiap tan.

Secara keseluruhan, beliau berkata harga minyak sawit mentah berkemungkinan kekal pada julat semasa tetapi lebih tinggi sedikit pada RM4,500 setan menjelang akhir tahun.

Paras harga terendah dijangka pada RM3,500 setan, tambahnya.

SDP mencatatkan lonjakan sebanyak 32 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM812 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022, daripada RM617 juta pada suku kedua 2021.

Peningkatan itu dirangsang oleh harga purata MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih kukuh.

Hasil pula meningkat kepada RM5.59 bilion daripada RM4.41 bilion sebelumnya.

Pada suku kedua, harga purata MSM dan PK yang direalisasikan melonjak sebanyak 44 peratus dan 40 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM5,213 setan dan RM3,339 setan.

Pengeluaran tandan buah segar (FFB) bagaimanapun, terjejas disebabkan kekurangan tenaga buruh yang berpanjangan dalam operasinya di Malaysia.

-- BERNAMA