Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menemui pengeluar kenderaan esok untuk membincangkan mengenai pelaksanaan B10 biodiesel, kata menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong.

"Kami memahami mengenai kebimbangan mereka. Oleh itu, kami merancang untuk menemui mereka esok bagi membincangkan perkara berkaitan dengan isu ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Advanced Oleochemicals Technology Building Lembaga Minyak Sawit Malaysia di sini hari ini.

Dilaporkan pelbagai pengeluar – BMW Malaysia, Isuzu, Toyota dan Volkswagen – melahirkan kebimbangan berkaitan dengan pelaksanaan B10 biodiesel.

Pelaksanaan B10 biodiesel (campuran 10 peratus metil ester dengan 90 peratus diesel petroleum) di Malaysia ditangguhkan sehingga dimaklumkan berikutan data tidak mencukupi.

Bagaimanapun, pada bulan lepas, Persatuan Automotif Malaysia mendakwa penggunaan biodiesel dengan gred lebih tinggi daripada B7 mungkin boleh menyebabkan asid-tebal metil ester bercampur dengan minyak enjin, menyebabkan minyak tersebut menipis dan kemungkinan menghasilkan enap cemar di dalam enjin.

Mah berkata, majlis minyak sawit turut menjalankan pelbagai penyelidikan dan ujian yang menunjukkan B10 selamat digunakan oleh mana-mana kenderaan.

Beliau berkata pelaksanaan B10 juga penting berikutan ia akan membantu mengurangkan simpanan minyak sawit di negara ini, yang akan membantu meningkatkan harga minyak sawit mentah.

Mandat campuran semasa adalah sebanyak tujuh peratus.