SERAMAI 11 usahawan muda Malaysia merupakan antara 300 orang dari 23 buah negara Asia Pasifik yang tersenarai dalam “Forbes 30 Bawah 30 Asia” tahun ini.

Senarai itu mengumpul 30 usahawan terkemuka di bawah umur 30 tahun di rantau ini.

Kesemua 11 usahawan Malaysia yang tersenarai ialah Aaron Patel, Bobby Ong, TM Lee, Chris Khristie, Michelle Tan, Jin Xi Cheong, Joolin Chuah, Kendrick Wong, Melvin Poh, Sarah Chen dan Wen Shin Chia.

Menurut Forbes, kesemua ahli perniagaan muda ini dipilih daripada lebih 2,000 penyertaan dan penilaian ke atas mereka dibuat berdasarkan hasil kerja dalam bidang inovasi teknologi serta bagaimana mereka menggugat industri lama.

Patel merupakan Ketua Pegawai Eksekutif iHandal Energy Solutions iaitu sebuah firma kejuruteraan dan kontraktor yang pakar dalam meningkatkan kecekapan tenaga haba bangunan komersil dan perindustrian.

Usahawan Bobby Ong dan TM Lee pula pengasas bersama CoinGecko, agregator data ‘cryptocurrency’ yang menilai statistik harga, isipadu, sosial dan pemaju.

Syarikat ini pernah bekerjasama dengan Western University di Kanada dan Humboldt University di Berlin.

Sementara itu, pengasas bersama kumpulan media digital, INFLUASIA, Chris Khristie dan Michelle Tan pula memenuhi keperluan masyarakat Inggeris, Melayu dan penutur Mandarin di Malaysia melalui portal digital mereka seperti World of Buzz, Lobak Merah dan NOODOU.

Juga yang berada dalam senarai "Forbes 30 Bawah 30 Asia” ialah Jin Xi Cheong yang juga pengasas Poladrone iaitu syarikat dalam industri minyak kelapa sawit yang objektifnya untuk meningkatkan kecekapan ladang kelapa sawit dan ladang tanaman sawit di Malaysia.

Joolin Chuah pula rakan sekutu dalam Insignia Ventures Partners berperanan penting dalam hampir 10 pelaburan pada tahun 2018 termasuk syarikat permulaan yang berpotensi besar seperti igloohome, CoHive dan Sayurbox.

Chuah amat dikenali sebagai penasihat untuk usahawan-usahawan di Asia Tenggara dan merupakan salah seorang Lembaga pengarah di Finhay, platform penasihat-robo di Vietnam.

Tidak ketinggalan, Kendrick Wong yang juga pengasas bersama Omnilytics.

Omnilytics adalah sebuah syarikat analisis fesyen yang membuat penyelidikan data dalam pasaran yang melibatkan 75,000 jenama.

Perkhidmatan data besar Omnilytics digunakan oleh peruncit di seluruh dunia serta pelanggan pasaran kewangan.

"Forbes 30 Bawah 30 Asia" turut menyenaraikan Melvin Poh, 27, iaitu pengasas bersama The Asian Entrepreneur, penerbit antarabangsa dan platform media serta mempunyai pembaca aktif di 13 buah negara.

Baru-baru ini, Poh berkolaborasi dengan kerajaan Malaysia, Macau dan Korea Selatan untuk memulakan beberapa komuniti dan program untuk mereka yang baru menyertai dunia usahawan.

Sarah Chen pula pengasas bersama Dana Billion Dollar for Women yang objektif utama dana ini untuk menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh semua pengasas wanita.

Dana ini berharap dapat melabur sebanyak AS$1 bilion dalam syarikat permulaan yang didorong oleh wanita menjelang 2020 dan ia telah memperoleh lebih daripada AS$750 juta dari pelabur global termasuk Gobi Partners, Golden Gate Ventures, Rethink Impact, Capital Growth Capital, Backstage Capital dan Funds Different.

Seterusnya, Wen Shin Chia ialah pengasas Green Yards iaitu syarikat eko-produk yang menghasilkan sabun dan lilin daripada minyak masak yang telah dikitar semula.

Minyak kitar semula yang digunakan untuk membuat produk syarikat ini rata-ratanya diperoleh dari restoran dan isi rumah di Malaysia.

Syarikat ini menjual produk-produknya dalam talian dan kedai-kedai hadiah di negara ini.