Skip to main content

Malaysia

Laluan baharu IPTA cerah peluang masa depan 50,000 lepasan tahfiz, pondok

61695950589_pemutihantahfiz.jpg
Kira-kira 50,000 pelajar tahfiz dan pondok berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membuka laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada lepasan tahfiz dan pondok persendirian dilihat sebagai titik perubahan besar dalam landskap pendidikan negara, sekali gus memberi peluang kepada kira-kira 50,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyifatkan langkah itu sebagai usaha penting untuk memastikan pelajar tahfiz tidak lagi terpinggir daripada akses pendidikan tinggi.

"Selama ini ramai pelajar tahfiz terutama daripada aliran tradisional mempunyai kekangan untuk memasuki IPTA kerana tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepenuhnya.

“Melalui syarat baharu ini, pelajar yang mempunyai kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah bersama sijil tahfiz diberikan peluang mengikuti program diploma tertentu di IPTA,” katanya semasa temu bual di Buletin AWANI.

Beliau berkata, institusi tahfiz dan pondok di negara ini boleh dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu tahfiz tradisional, tahfiz turas, tahfiz akademik dan tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, sebahagian besar pelajar tahfiz akademik sebenarnya mengambil SPM penuh seperti pelajar sekolah biasa, manakala pelajar tahfiz tradisional lebih memberi fokus kepada hafazan al-Quran dengan ada yang mengambil SPM secara persendirian selepas tamat pengajian.

“Ramai menyangka pelajar tahfiz hanya tertumpu kepada bidang agama, sedangkan ada antara mereka menjadi doktor, jurutera dan akauntan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan peluang baharu yang diumumkan kerajaan ketika ini lebih tertumpu kepada program dakwah dan pengajian Islam bagi pelajar yang hanya mempunyai dua subjek teras SPM.

Dalam masa sama, beliau berpandangan keputusan itu mampu memperluaskan mobiliti sosial golongan lepasan tahfiz dan pondok, selain mengiktiraf peranan institusi pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara.

Langkah tersebut juga dijangka membuka lebih banyak ruang integrasi antara pendidikan agama dan pendidikan tinggi arus perdana, khususnya dalam melahirkan tenaga profesional berlatar belakang tahfiz pada masa depan.

Sebelum ini pelajar lepasan tahfiz, sekolah swasta, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/ Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ingin memohon kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline perlu mengambil enam mata pelajaran teras dalam SPM iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam (wajib bagi calon beragama Islam) atau Pendidikan Moral (wajib bagi calon bukan beragama Islam).

Namun pada pada Khamis, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan kelonggaran untuk memberi peluang kepada calon lepasan SMPC dan UEC serta tahfiz untuk mengikuti program tertentu di IPTA.

Mereka hanya perlu mengambil mata pelajaran BM dan Sejarah dalam SPM.

Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Menurut KPT, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri yang memperhalusi laluan kemasukan pelajar daripada sistem pendidikan di luar aliran kebangsaan ke institusi berkenaan.

Must Watch Video