Skip to main content

Bisnes

Keputusan mahkamah AS halang tarif Trump tingkat kestabilan perdagangan global – Penganalisis

U.S. President Donald Trump delivers remarks on tariffs in the Rose Garden at the White House in Washington, D.C., U.S., April 2, 2025. REUTERS/Carlos Barria
Trump ketika mengumumkan tarif global pada 2 April lalu di White House. -Foto fail/REUTERS

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menghalang sebahagian besar dasar tarif yang ditetapkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dijangka akan menyumbang kepada kestabilan perdagangan dunia.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata keputusan berkenaan juga menunjukkan sebarang keputusan dasar ekonomi tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada seorang individu, sebaliknya terikat dengan mekanisme semak dan imbang.

Advertisement

“Saya lihat keputusan Mahkamah Agung ini dalam sistem demokrasi AS masih ada semak dan imbang. Dari sudut ekonomi global, ia beri isyarat bahawa mana-mana presiden tidak boleh laksanakan sebarang dasar perdagangan tanpa semak dan imbang daripada pihak legislatif.  

"Untuk jangka masa sederhana dan panjang, ia mungkin akan meningkatkan kestabilan kerana pelabur dan rakan dagang akan lihat sebarang keputusan AS untuk menentukan dasar akan jadi lebih berinsitutsi dan tidak bergantung kepada individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam progam Buletin AWANI pada Ahad.

Namun, Ahmed Razman mengakui Malaysia mungkin akan berdepan dengan fasa ketidaktentuan jangka pendek sementara lebih banyak perincian dikongsikan oleh AS.  

“Dalam konteks Malaysia, sebelum ini kita tidak dikenakan tarif untuk barangan eksport utama kita; elektrik dan elektronik (E&E). Kita tidak pasti jika 15 peratus itu dikenakan ke atas barangan E&E, mungkin akan memberi kesan kepada eksport dan kekukuhan mata wang ringgit kita,” ujarnya.

Pada Ahad, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa kadar tarif global baharu akan dinaikkan kepada 15 peratus, selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif import terdahulu yang diperkenalkan pentadbirannya.

Pengumuman itu dibuat melalui platform Truth Social di mana Trump berkata, pentadbirannya menggunakan kuasa maksimum di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974. Ini merupakan satu peruntukan yang jarang digunakan bagi mengenakan tarif sementara tanpa kelulusan Kongres. 

Must Watch Video