KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan cadangan untuk meningkatkan had statutori hutang daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menyediakan fleksibiliti perbelanjaan dalam situasi krisis pandemik, kata Kementerian Kewangan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat kali kedua Jawatankuasa Dasar Fiskal di sini, ia berkata dasar fiskal kerajaan akan terus memberikan sokongan berterusan dalam memastikan pemulihan ekonomi yang mampan dan kelancaran pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), 2021-2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Kementerian Kewangan berkata kerajaan kekal komited terhadap pendirian konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana seperti yang digariskan di bawah RMK12 dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025.

"Justeru, jawatankuasa akan turut meneliti pelaksanaan pelbagai langkah fiskal dalam mencapai keseimbangan antara keperluan perbelanjaan kerajaan dengan kemampanan fiskal.

"'Langkah-langkah ini termasuk menambah baik kutipan hasil, mempertingkat kecekapan perbelanjaan dan mengurus hutang dengan lebih berhemat. Jawatankuasa juga bersetuju supaya konsolidasi fiskal jangka sederhana perlu lebih teguh berbanding perancangan sebelum ini dalam mencapai kestabilan makroekonomi dan fiskal jangka panjang selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi," katanya.

Dari segi kedudukan fiskal Malaysia, Kementerian Kewangan berkata kerajaan telah meningkatkan sasaran defisit pada 2021 di antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus daripada KDNK berbanding sasaran asal 5.4 peratus selepas mengambil kira suntikan fiskal tambahan bagi empat pakej bantuan yang diumumkan tahun ini iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH berjumlah RM225 bilion atau 14.8 peratus daripada KDNK.

Berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, kerajaan buat julung kalinya telah mengumumkan Kenyataan Pra-Bajet serta empat kertas konsultasi awam mengenai perolehan, bantuan tunai langsung, insentif cukai dan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk maklum balas awam.

Sehingga kini, kerajaan telah menerima lebih daripada 1,000 maklum balas dan komen yang akan diberi pertimbangan sewajarnya, tambahnya.

Kementerian Kewangan juga sedang berbincang dan mendapatkan input dari pelbagai pihak berkepentingan dalam menyediakan Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 29 Okt, 2021.

"Berteraskan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan kekal komited membantu semua lapisan rakyat dalam krisis pandemik, melaksanakan langkah pemulihan yang selamat dan sistematik seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta memacu pemulihan mampan di bawah Belanjawan 2022 akan datang.

"Usaha-usaha ini juga akan diselaraskan dengan strategi makroekonomi jangka sederhana RMK12 yang dirangka bagi memangkin pertumbuhan inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal ini diadakan buat kali kedua pada tahun ini bagi membincangkan keadaan ekonomi Malaysia serta situasi fiskal semasa, unjuran fiskal jangka sederhana dan kedudukan hutang kerajaan.

Ahli jawatankuasa ini termasuk Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

-- BERNAMA