KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin pada banjaran pendapatan bercukai di antara RM250,001 hingga RM400,000 sebanyak 0.5 mata peratusan mulai tahun taksiran 2023 untuk menjadikan struktur cukai individu lebih progresif, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Berdasarkan lampiran Bajet 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat, MOF menjelaskan justeru, berdasarkan cadangan itu kadar cukai pendapatan individu akan meningkat kepada 25 peratus daripada kadar cukai semasa sebanyak 24.5 peratus.

Ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kadar cukai pendapatan individu pemastautin akan dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 hingga RM100,000.

Beliau berkata banjaran pendapatan bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000 kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus.

Bagi banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000, kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus, katanya.

Menurut lampiran tersebut, berdasarkan kedudukan semasa, kadar cukai pendapatan individu pemastautin adalah progresif di antara 0.0 peratus dan 30 peratus.

MOF turut bercadang mengurangkan kadar cukai pendapatan syarikat bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan daya saing PMKS dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara, jelasnya.

"Kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dicadangkan dikurangkan sebanyak dua mata peratusan daripada 17 peratus kepada 15 peratus, manakala kadar cukai bagi pendapatan bercukai selebihnya dikekalkan pada kadar 17 peratus dan 24 peratus mulai tahun taksiran 2023," tambahnya.

Menurut lampiran itu, berdasarkan kedudukan semasa, syarikat atau perkongsian liabiliti terhad (PLT) yang mempunyai modal berbayar RM2.5 juta dan ke bawah dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta setahun dikategorikan sebagai PMKS.

Kadar cukai pendapatan yang dikenakan adalah 17 peratus bagi RM600,000 pertama pendapatan bercukai manakala pendapatan bercukai selebihnya dikenakan pada kadar 24 peratus, jelas lampiran itu.

-- BERNAMA