PUTRAJAYA: Penggunaan kaedah invois elektronik (e-invois) mampu memacu pendapatan negara dengan lebih positif, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, alternatif berkenaan dapat memastikan perniagaan yang telus tanpa mengelak daripada dikenakan cukai.

Justeru, katanya kerajaan bercadang untuk memperkenalkan kaedah e-invois mulai tahun depan.

"Kaedah ini boleh membantu untuk menambahkan hasil yang mana jumlahnya agak banyak. Jika kita belum lagi boleh melaksanakan GST maka sistem e-invois perlu diperhebatkan.

"Invois elektronik (e-invois) ini menyebabkan segala perniagaan menjadi telus, maklumat telus dan apabila itu berlaku, kurang pelarian cukai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan e-Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, beliau menyatakan, jumlah pendapatan negara perlu perlu ditingkatkan dengan menambah hasil cukai negara.

Meskipun perbelanjaan pembangunan negara tahun ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah namun ia masih tidak mencukupi untuk meraih pendapatan yang positif.

"Tahun ini perbelanjaan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah RM99 bilion, tetapi kita melihat ia tidak cukup nak buat jalan baharu, nak selesaikan sekolah dan klinik daif, tidak cukup untuk mengatasi banjir, tidak cukup untuk pembangunan luar bandar dan desa dan banyak lagi.

"Oleh itu peluasan hasil cukai, pengutipan cukai dengan lebih berkesan termasuk pengakuan sukarela supaya hasil daripadanya boleh menambah pendapatan kerajaan dilaksanakan," katanya lagi.

Ahmad Maslan pada Khamis menerusi sidang Dewan Rakyat turut berkata, model percukaian negara ini kelihatan tidak begitu mampan.

Hal yang demikian mengakibatkan pendapatan negara jauh kebuh rendah jika dibandingkan dengan negara maju yang lain termasuk di rantau Asean.