KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk menaikkan had maksimum pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) daripada RM200,000 kepada RM400,000, sebagai usaha menggalakkan rakyat menyimpan dan menjana pendapatan pasif.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya seseorang individu membuat pelaburan maksimum pada kadar enam peratus, dengan ini pelabur itu bakal memperolehi pendapatan pasif sehingga RM2,000 setiap bulan.

"Bagi mencapai matlamat ini, skim pinjaman pembiayaan ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM) sedia ada dari bank-bank perlu ditambah baik," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, penambahbaikan itu adalah dengan mengambil kesempatan kadar caj perkhidmatan sebenar bank ketika ini yang paling rendah dalam sejarah dengan memastikan lebih ramai rakyat mampu membuat pelaburan sehingga ke tahap maksimum.

"Seperti kita sedia maklum, berjuta-juta rakyat terpaksa mengeluarkan caruman dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka pada tempoh pandemik ini melalui skim-skim seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang telah saya perjuangkan bersungguh-sungguh.

"Seandainya kerajaan memenuhi tuntutan rakyat untuk menaikkan pengeluaran maksimum i-Citra dari RM5,000 kepada RM10,000, maka tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari jalan memulih dan memastikan agar pencarum dengan baki simpanan yang rendah, dapat menambah simpanan mereka dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengesyorkan mengubah pembayaran dividen KWSP kepada struktur berperingkat atau 'multi-tier dividend structure'.

Katanya, menerusi kaedah itu pencarum yang memiliki baki simpanan yang lebih rendah akan menerima dividen yang lebih tinggi, supaya pembahagian keuntungan akan lebih memihak kepada mereka yang mempunyai baki simpanan rendah.

"Kaedah bayaran dividen secara multi-tier ini juga patut diperluaskan ke tabung-tabung simpanan yang lain seperti ASB, Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Tabung Haji," kata Najib lagi.