KUALA LUMPUR: Beri geran dan benarkan lanjutan operasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sehingga 24 jam.

Itu antara saranan penasihat Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur Datuk Sharifuddin Musa kepada kerajaan menjelang pembentangan Bajet 2022 hujung bulan ini.

Menurut beliau, pandemik COVID-19 yang hampir memasuki tahun kedua menyebabkan industri itu semakin terdesak untuk terus beroperasi, malah sudah ada yang gulung tikar.

Dengan memperkenalkan pemberian geran, ia sedikit sebanyak membolehkan syarikat PKS untuk kembali mendapat modal bagi memulakan atau meneruskan perniagaan yang terjejas sejak pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lepas.

"Kami berharap kerajaan akan memberi geran yang bersesuaian untuk mereka semua dalam masa terdekat ini.

"Perlu diingat bahawa, peniaga sudah berniaga dengan cara yang berbeza, contoh ada antara mereka yang mempunyai kedai namun, hanya dibenarkan meniaga 8 jam sahaja, sedangkan sewa bulanan mencecah RM10,000.

"Jadi kalau mereka dibenar berniaga 24 jam, ini dapat membantu mereka dalam membayar sewa kedai tersebut, iaitu memaksimumkan penggunaan kedai tersebut pada harga sewa yang sama," kata Sharifuddin.

Menurutnya, dengan melanjutkan operasi perniagaan, PKS mampu mendapat semula pulangan selain memastikan kos bayaran sewa premis berbaloi.

Beliau juga menyarankan kerajaan untuk menambah dana bagi tujuan promosi produk atau servis PKS di luar negara.

"Dari sudut kakitangan, sudah sedia maklum banyak pekerja diberhentikan kerana banyak syarikat menghadapi kekurangan wang dan terpaksa tutup.

"Apa yang diperlukan apabila berniaga 24 jam adalah pertambahan pekerja jadi peluang pekerjaan bertambah. Itu adalah manfaat kepada industri perniagaan. 

"Jadi kita harap kerajaan membenarkan industri industri kecil (IKS) menjalankan perniagaan secara 24 jam. Itu antara cadangan yang dikira sesuai untuk ketika ini," katanya.

Sebelum ini, syarikat PKS diberi dana RM15,000 dan Sharifuddin berharap jumlah itu dipertingkatkan demi kelangsungan syarikat pasca COVID-19.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2022 pada 29 Okt ini.