BISNES
Kerajaan mulakan majlis konsultasi Belanjawan 2026 Khamis ini - Fahmi

Fahmi bercakap kepada media pada Sesi Forum Chief Human Resource Officer (CHRO) Nexus 2025 hari ini. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memulakan majlis konsultasi Belanjawan 2026 bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh Khamis ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Majlis konsultasi bermula Khamis ini: Kerajaan akan mengumpul maklum balas pelbagai pihak hingga draf akhir Belanjawan 2026 disiapkan, bagi memastikan belanjawan lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan sektor swasta.
- Fokus kepada PMKS dan Rancangan Malaysia Ke-13: Belanjawan akan beri penekanan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta dasar yang dirangka dalam RMK13, selari dengan usaha membina ekonomi yang saksama dan berdaya tahan.
- Pembentangan dijadual pada 10 Oktober 2025: Menurut takwim Parlimen, Belanjawan 2026 akan dibentang di Dewan Rakyat, dengan pendekatan pragmatik yang menangani cabaran semasa dan ketidaktentuan geopolitik.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Menurut Fahmi, belanjawan itu akan mengambil kira pelbagai inisiatif yang sedang berjalan serta dasar yang sedang dilaksanakan dan dirangkumkan sekali dengan situasi geopolitik dan cabaran-cabaran semasa.
Selain itu, beliau berkata Belanjawan 2026 juga akan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang telah digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan penyumbang utama kepada peluang pekerjaan di Malaysia.
"PMKS merupakan denyut nadi ekonomi negara dan secara umumnya PMKS menyumbang lebih kurang 70 peratus daripada pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
"Jadi, adalah penting untuk pihak kerajaan memahami isu-isu yang dihadapi oleh PMKS," katanya.
Mengikut Takwim Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025, Belanjawan 2026 dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Okt depan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2026 dan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 akan bersifat pragmatik dan praktikal, serta memacu kesinambungan kemajuan negara. Ia juga menjadi antara usaha untuk memperkukuh ekonomi, menangani ketidaktentuan ekonomi dan membina masyarakat yang lebih adil dan saksama.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami