PERTUBUHAN Usahawan Muslim  (MEA) Pulau Pinang hari ini menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi perhatian terhadap keluhan usahawan IKS semasa era pandemik ini.

Pengerusinya, memaklumkan bahawa pihak pertubuhan telah membuat tinjauan tentang permasalahan yang dihadapi oleh usahawan-usahan mikro, kecil dan sederhana yang terdapat di Pulau Pinang. Hampir kesemua mereka tertekan dan memerlukan pihak bertanggungjawap untuk mempertimbangkan beberapa pendekatan membantu mereka selain daripada yang telah diputuskan oleh kerajaan.

Pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan kesukaran kepada sektor kesihatan awam negara, malah kepada ekonomi dan pasaran buruh keseluruhannya. Perkembangan semasa Covid-19 telah menambah beban dan cabaran kepada golongan usahawan, golongan pekerja, majikan dan pihak kerajaan. Tambahan pula dengan arahan ke atas penjarakan sosial (social distancing) dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majoriti pekerjaan terutamanya yang bergantung kepada interaksi kepada pelanggan secara fizikal turut terkesan.

Laporan Tinjauan Kesan Covid-19 kepada Ekonomi dan Individu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (Department of Statistics Malaysia – DOS) yang melibatkan seramai 168,182 responden berumur 15 tahun ke atas daripada pelbagai sektor telah menunjukkan 46.6% responden bekerja sendiri (tanpa mengira umur) telah kehilangan pekerjaan sepanjang Covid195. Berdasarkan dapatan tinjauan ini juga, jumlah kehilangan pekerjaan disebabkan krisis Covid-19 ini dijangka mencecah 2.1 juta.

Sektor perniagaan kecil adalah salah satu sektor yang paling terkesan secara langsung disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan. Hal ini merencatkan pendapatan yang diperoleh oleh peniaga kecil khasnya di kawasan luar bandar. Impak ekonomi daripada pandemik COVID-19 terhadap sektor swasta, industri dan pekerjaan turut memberi impak besar di negara ini. Menurut kajian yang dibuat oleh Kuriakose (2020), impak ini berlaku terutama dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kerana dianggarkan golongan mereka merupakan 98.5% daripada keseluruhan jumlah perusahaan dan sekaligus ianya memberi kesan kepada sektor yang dihadapi oleh peniaga kecil yang terjejas dengan kesan COVID-19 ini.

Oleh yang demikian, Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang ingin mencadangkan beberapa langkah bagi membantu usahawan kecil di Pulau Pinang:-

1. Moratorium diberikan secara automatik kepada semua, sepertimana yang dilaksanakan semasa PKP 1. Ini akan memudahkan semua kerana tidak perlu membuat permohonan kepada pihak bank yang mempunyai pelbagai peraturan dan kerenah birokrasi.

2. Subsidi upah dilanjutkan sehingga bulan December 2021

3. Pengecualian sewa atau sekurang-kurangnya pengurangan sewa daripada pihak agensi kerajaan dan pihak swasta sehingga bulan December 2021. Bagi pihak swasta akan mendapat pengurang cukai pandapatan, jika mereka memberikan pengecualian sewa kepada usahawan kecil.

4. Geran khas untuk semua usahawan IKS bagi membaik pulih atau membangunkan semula perniagaan yang terjejas.

5. Pihak Berkuasa Tempatan (MBPP dan MPSP) mengeluarkan lesen perniagaan sementara kepada penjaja tepi jalan dan diberikan lesen sepenuhnya jika perniagaan diteruskan selepas PKP.

6. Mohon pihak TNB agar memberi pengurangan bil letrik sebanyak 30% kepada semua usahawan IKS.

7. Pengecualian atau pengurangan cukai pendapatan individu dan syarikat kepada semua usahawan IKS sepanjang era pandemik ini.

8. Melonggarkan syarat-syarat pinjaman mudah utk usahawan IKS bertaraf B40 dan M40 dengan kadar faedah yang rendah  bawah 3%.

9. Menyediakan talian internet percuma kepada semua usahawan kecil. Ini bagi membolehkan mereka berniaga dan memasarkan barangan secara atas talian.

10.Meningkat kemudahan infrastruktur bagi memastikan talian internet yang stabil.

11.Mengawal harga perkhidmatan E-hailing. Lambakan perkhidmatan  E-hailing      yang semakin banyak menyebabkan  kos perkhidmatan meningkat.

12.Memantau dan menyekat lamanweb (scammer- sampah) yang kerap mengambil kesempatan kepada usahawan online yg baru berjinak-jinak dalam pemasaran secara atas talian.

13.Memperbanyakan program-program kesedaran kepada usahawan baru terutama dari segi Perundangan mengenai perniagaan secara atas talian.

14.Mohon pihak kerajaan memantau dan mengambil tindakan  tegas terhadap kebanyakan pemborong yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa kawalan.

Datuk MUHAMAD FARID SAAD
Presiden
PERTUBUHAN USAHAWAN MUSLIM PULAU PINANG (USAHAWAN).