KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak kini sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings Sdn Bhd sebagai persediaan untuk pengambilalihan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan negeri Datuk Jerip Susil berkata selain itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham dalam MASWings.

"Pengambilalihan akan dilakukan secara berperingkat dan operasi syarikat penerbangan milik Sarawak itu hanya akan dimulakan selepas keseluruhan proses pengambilalihan berkenaan selesai dan dimuktamadkan," katanya dalam jawapan kepada Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) yang ingin tahu bila syarikat penerbangan Sarawak akan mula beroperasi.

Pada 27 Oktober 2023, syarikat milik Sarawak Hornbill Skyways Sdn Bhd dan MAG menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pembelian saham dalam MASWings bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata MoU itu akan membuka jalan kepada perbincangan terperinci antara kedua-dua pihak bagi memastikan negeri itu memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat penerbangan berkenaan.

Hornbill Skyways yang telah mengendalikan perkhidmatan penerbangan carter di Sarawak sejak 1977, diberi mandat untuk mengambil alih pemilikan MASWings dan mengendalikan perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah.

Abang Johari berkata kerajaan negeri berhasrat menjadikan Kuching sebagai hab utama syarikat penerbangan dan meluaskan laluan syarikat penerbangan ke destinasi serantau termasuk Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan India.

Bagaimanapun, beliau berkata MASWings tidak akan berorientasikan keuntungan kerana matlamat pengembangan itu adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

-- BERNAMA