BISNES
GST efisien, telus tapi belum sesuai dilaksana buat masa ini - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah dan tidak memungkinkan pelaksanaan cukai itu tanpa menjejaskan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Ringkasan AI
- Kerajaan tidak akan laksana semula GST buat masa ini kerana pendapatan rakyat masih rendah, dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menetapkan syarat pendapatan minimum rakyat sekitar RM4,000 sebulan sebelum GST boleh dipertimbang semula.
- Anwar mengakui pernah menyokong GST sebagai sistem yang efisien dan telus, tetapi kini menegaskan pelaksanaannya akan membebankan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
- Cadangan Muhyiddin Yassin untuk menilai semula GST timbul sebagai alternatif kepada kenaikan tarif elektrik dan peluasan SST mulai 1 Julai, namun kerajaan masih belum bersedia melaksanakannya semula.
"Saya masih ingat jawapan saya di Parlimen (dulu), GST itu adalah sistem percukaian yang efisien dan telus. Pada masa itu, saya di Kementerian Kewangan dan saya sendiri menyokongnya. Tapi akhirnya kita terpaksa tangguhkan pelaksanaannya kerana tahap pendapatan rakyat terlalu rendah
"Tetapi saya tetap berpegang pada pendapat saya ketika itu dengan pendapatan serendah RM2,000, walaupun kita beri beberapa pengecualian.
"Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin pada masa itu kita boleh laksanakan. Tetapi sekarang ini, masih ramai yang bergaji RM1,700 atau RM2,000. Mungkin saya tidak bijak dalam membuat keputusan ketika itu, tetapi niat saya jelas, saya tidak mahu memperkenalkan cukai yang memberi kesan dan menyusahkan rakyat." katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan, di sini, pada Jumaat.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menggesa kerajaan untuk membatalkan cadangan kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan untuk mencari kaedah lain mengatasi masalah fiskal negara termasuk mempertimbangkan semula pelaksanaan GST dengan kadar yang lebih munasabah.
Pada 8 Ogos 2018, Dewan Rakyat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.
GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Pemansuhan GST dibuat memandangkan ia sebahagian manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) jika memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami